AS kritik WHO lambat kesan wabak Ebola

AS kritik WHO lambat kesan wabak Ebola

MARCO RUBIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lewat mengenal pasti penularan wabak Ebola yang membawa maut.

Rubio berkata, WHO yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memainkan peranan bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam menangani penularan wabak berkenaan.

“Peranan utama jelas akan dikendalikan oleh CDC dan WHO, yang malangnya agak lewat mengenal pasti perkara ini,” katanya kepada wartawan semalam.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menghentikan pembiayaan kepada WHO dan memulakan proses pengunduran negara itu daripada organisasi berkenaan sejurus kembali memegang jawatan pada 2025.

Trump turut mengkritik hebat WHO berhubung tindak balas badan kesihatan dunia itu terhadap pandemik Covid-19.

Pandemik global sebelum ini memberi kesan besar kepada pentadbiran pertama Trump, beberapa bulan sebelum beliau tewas dalam pilihan raya 2020 kepada Joe Biden.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini dilaporkan terpaksa mengurangkan operasi susulan penamatan pembiayaan oleh AS, yang sebelum ini merupakan penyumbang terbesar dengan lebih AS$1 bilion (RM3.98 bilion) setahun di bawah pentadbiran Biden.

Apabila ditanya mengapa Rubio berpendapat WHO lewat bertindak, seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan dinamakan berkata, badan PBB itu mengambil masa 10 hari untuk mengesahkan penularan Ebola.

“Ketika ini kita sudah memasuki hari keempat dalam tindak balas ini; kita mungkin boleh berada pada hari ke-14,” kata pegawai itu.

Pegawai berkenaan turut mendakwa WHO ‘gagal beberapa kali’ serta mengulangi kritikan organisasi itu didakwa terlalu berlembut dalam menangani pandemik Covid-19.

“Jelas sekali, semua orang sudah maklum apa yang mereka lakukan, iaitu menutup pandemik Covid-19 untuk Parti Komunis China,” katanya.

Bagaimanapun, WHO menafikan dakwaan AS ia terlalu berlembut terhadap China atau membenarkan negara itu menyembunyikan penularan Covid-19, dengan menegaskan ia perlu bekerjasama dengan semua negara anggota.

Sementara itu, Jabatan Negara AS pada Selasa mengumumkan akan membiayai sehingga 50 pusat rawatan Ebola di Republik Demokratik Congo atau Uganda melalui peruntukan awal sebanyak AS$13 juta (RM51.7 juta).

Rubio berkata, usaha bantuan itu berdepan kesukaran kerana lokasi kawasan terjejas berada di ‘tempat yang sukar dicapai di negara yang dilanda perang’.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Negara AS menegaskan AS mempunyai ‘komitmen kukuh’ untuk memastikan tindak balas ini dilaksanakan dengan lengkap, pantas dan secara kerjasama bersama rakan kesihatan serta kemanusiaan global utama.

Semalam, WHO menyatakan kebimbangan terhadap ‘skala dan kepantasan’ penularan wabak Ebola yang menurut pihak berkuasa Republik Demokratik Congo menyebabkan 136 kematian disyaki.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN