Ismahalil diarah bela diri atas pertuduhan edar dadah

Ismahalil diarah bela diri atas pertuduhan edar dadah

NOR Haslinda Abdul Manaf, isteri Ismahalil Hamzah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perbicaraan suaminya itu. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah diarah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan tersebut.

“Pihak pendakwaan mengemukakan keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan elemen kesalahan dalam pertuduhan. 

“Penilaian maksimum sudah dibuat berdasarkan keterangan saksi pendakwaan. Tiada percanggahan dalam kenyataan dibuat mereka.

“Isu dibangkitkan peguam bela tertuduh pula tiada merit dan tiada sebarang isu mengenai identiti dadah. Sekarang beban terletak pada tertuduh untuk mematahkan anggapan dalam pertuduhan terbabit,” katanya semasa membacakan keputusan itu.

Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Selepas membacakan keputusan itu, Muhammad Jamil telah memberi tiga pilihan kepada tertuduh berhubung keterangan bakal diambil pada peringkat pembelaan akan datang.

Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh yang mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan. 

Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan, manakala yang terakhir ialah berdiam diri tanpa menjawab tuduhan. 

Ismahalil memilih pilihan pertama dan peguam belanya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, menawarkan lima saksi termasuk anak guam dalam prosiding bela diri. Tarikh prosiding yang dicadangkan oleh peguam itu adalah 30 dan 31 Mei ini. 

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, tidak membantah cadangan berkenaan sebelum hakim bersetuju dengan tarikh itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN