MELAKA: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didakwa menyebabkan kecederaan ke atas bayi perempuan berusia lapan bulan.
Tertuduh, Siti Aqilah Shahimi, 25, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Difahamkan, tertuduh yang telah berkahwin mengasuh seramai lima orang kanak-kanak termasuk mangsa di rumahnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan kira-kira pukul 6.20 petang di Taman Limbongan Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 7 September 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.
Bagaimanapun, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN