Pesara tentera dan rakan mengaku salah seludup PATI - Utusan Malaysia

Pesara tentera dan rakan mengaku salah seludup PATI

MAHKAMAH Tinggi, Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada kedua tertuduh yang mengaku bersalah menyembunyikan lima PATI warga Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan tiga bertanggungjawab seorang pesara tentera dan rakannya menyeludup lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tahun lalu membawa padah apabila kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zulkifli Bakar, 61, dan Norizan Abu Seman, 51, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah menyembunyikan lima PATI warga Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 malam di sebuah rumah bernombor di Jalan Tanjung Bidara, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Ogos 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua tertuduh merayu hukuman ringan diberikan kepada anak guamnya dengan alasan mereka telah insaf selepas berada dalam tahanan penjara selama tiga tahun bagi melaksanakan prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana telah mengganggu-gugat keselamatan negara.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan bersama lima PATI di kediaman berkenaan dalam Op Pintas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Kesemua pati berkenaan sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal melalui perairan Tanjung Bidara.

Mahkamah kemudian menjatuhkan lima tahun penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada 6 Ogos 2019 bagi setiap tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya