‘Bukan semua PATI, tiga juta warga asing ada permit dan pas sah’

‘Bukan semua PATI, tiga juta warga asing ada permit dan pas sah’

Zakaria Shaaban di sidang akhbar Program Jelajah Wira MADANI Semarak Aidiladha JIM Tahun 2026 di Depot Imigresen Sementara Milennium, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Tanggapan bahawa kehadiran ramai warga asing di kawasan tumpuan menandakan ‘penguasaan’ Pendatang Tanpa Izin (PATI) perlu diperbetulkan kerana ramai berada di sini dengan dokumen dan permit kerja yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, realitinya lebih tiga juta warga asing di negara ini memiliki pas dan permit sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, namun situasi pergerakan dan perhimpunan warga asing terutama pada cuti hujung minggu dan musim perayaan di lokasi tumpuan negara sering mencetuskan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat.

“Mereka berkumpul untuk bertemu rakan pada cuti panjang atau hujung minggu sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kawasan itu dipenuhi PATI.

“Ramai dalam kalangan mereka mempunyai dokumen sah hasil pemeriksaan kami,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Jelajah Wira MADANI Semarak Aidiladha JIM Tahun 2026 di Depot Imigresen Sementara Millennium, di sini hari ini.

Program berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan kepada warga imigresen yang bertugas di barisan hadapan. 

Zakaria berkata, terdapat juga kemungkinan rakaman di media sosial oleh pihak tertentu yang menyumbang kepada persepsi itu.

Katanya, kemungkinan ada individu yang membuat konten yang mencari bahan sensasi untuk mendapatkan tontonan tinggi, namun masyarakat perlu memahami situasi sebenar.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak ‘menutup’ mata dan tetap menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di negara ini bagi memastikan kesejahteraan setempat sentiasa terjamin. 

Sebanyak 5,010 operasi penguatkuasaan di laksanakan di seluruh negara sehingga 25 Mei lalu membabitkan pemeriksaan seramai 71,734 individu dengan 17,313 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Seramai 789 majikan yang disyaki melindungi atau menggaji warga asing tanpa permit sah turut ditahan.

Statistik JIM merekodkan antara negara asal tertinggi ditahan ialah Indonesia (5,578), Bangladesh (3,533), Myanmar (2,856), Filipina (1,990) dan Pakistan (811). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN