Remaja `jenazah' dipenjara 10 hari, denda RM4,000 cuba curi tabung masjid - Utusan Malaysia

Remaja `jenazah’ dipenjara 10 hari, denda RM4,000 cuba curi tabung masjid

PERISTIWA yang menimpa Daniel Iskandar patut dijadikan pengajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.

Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah turut menegur perbuatannya dan menasihati remaja tersebut supaya insaf dan menjadikannya sebagai pengajaran.

“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi (dalam tabung) untuk masyarakat dan pembangunan masjid. Awak curi dan letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadi pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata majistret itu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 hari itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada Ahad lalu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama lima bulan.

Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Azman Abdullah yang bertindak secara suka rela (pro bono) memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Peguam itu menyertakan alasan bahawa pengakuan bersalahnya menjimatkan masa mahkamah selain tertuduh terdesak menggunakan wang ketika kejadian kerana datuknya yang sedang sakit memerlukan perbelanjaan.

“Tertuduh merupakan anak sulung dan ibu bapanya telah bercerai sejak berusia lapan tahun (darjah dua). Dia tinggal dengan datuknya berusia 70-an dan mereka bukan orang senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran,” kata peguam itu.

Peguam itu turut menambah, meskipun tertuduh bersalah, tindakan pihak-pihak mengambil video seperti yang tersebar di laman sosial adalah tidak wajar kerana ia secara tidak langsung telah menyebabkan tertuduh tertekan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain bagi mencegah daripada orang lain melakukan kesalahan serupa.

Isnin lalu, tular sebuah video di laman sosial yang memaparkan seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti `jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Sebilangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid dan penduduk kampung sebagai pengajaran kepada remaja terbabit.

Namun demikian, sebilangan lagi mengecam perbuatan itu kerana mendakwa pihak masjid dan penduduk kampung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya