Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas -

Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas

POLIS mengesan M. Anbu bagi membantu kes culik dan bunuh di Bidor, Perak. - UTUSAN ONLINE 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mayat seorang lelaki yang menjadi mangsa culik September lalu, ditemukan ditanam di sebuah kebun kelapa sawit di Bidor, dekat sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penemuan mayat lelaki berusia 29 tahun itu susulan tangkapan ke atas seorang daripada suspek di hentian rehat dan rawat (R&R) Dengkil, Selangor, kelmarin.

Katanya, dengan dipandu arah suspek berusia 30 tahun itu, mayat mangsa ditemukan ditanam di kawasan berkenaan dalam keadaan dibungkus plastik kanvas.

“Polis menerima laporan berkaitan kes seorang lelaki dilarikan dua individu pada 3 Oktober tahun lalu. Berdasarkan siasatan ke atas pengadu, dia memberitahu kejadian itu berlaku pada 13 September lalu ketika dia dan mangsa berada di kolam ikan di Kampung Poh, Bidor di mana mereka diserang dua lelaki bersenjatakan kayu.

“Mangsa kemudian telah dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan oleh suspek sebelum beredar. Suspek juga mengugut pengadu agar tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, siasatan awal polis mendapati punca kejadian akibat masalah hutang antara suspek dan mangsa yang bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit.

Katanya, risikan yang dijalankan memberkas seorang daripada suspek yang akhirnya mendedahkan mangsa dibunuh dan ditanam di kawasan kebun kelapa sawit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes berkenaan juga diklasifikasi semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang lelaki dikenali M. Anbu untuk membantu siasatan. Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai banyak rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman empat hari sehingga esok mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan reman akan dimohon semula  untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat lokasi Anbu berada diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Noor Irwan Abd. Ghani di talian 017-3168097 atau mana-mana balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya