IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan suasana perbincangan berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini jauh berbeza berbanding ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu.
Menurut beliau, ketika itu kerajaan sukar memberi ruang kerana sekolah-sekolah persendirian Cina dilihat terpisah dari landasan pendidikan kebangsaan.
Malah katanya, dalam beberapa pertemuan, pemimpin persatuan berkenaan juga enggan bercakap dalam bahasa Melayu.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Arshad tersinggung dan bertindak meninggalkan sesi perbincangan.
“Itu 40 tahun yang lalu dan dalam pertemuan sekarang, semua wakil persatuan bercakap dalam bahasa Melayu.
“Pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah Cina juga lebih daripada 80 peratus mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika berucap pada sambutan Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, apabila Kabinet membenarkan lulusan UEC memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ia disertai dengan syarat bahawa pelajar perlu lulus atau memperoleh kepujian dalam bahasa Melayu dan Sejarah.
Katanya, ketetapan itu terpakai kepada semua pelajar termasuk sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz dan sekolah aliran Arab.
“Dalam hidup ini mesti ada semangat tolak ansur, yang kita tidak boleh tolak ansur adalah berkaitan bahasa dan sejarah.
“Mahu menjadi rakyat negara ini, mesti faham tentang sejarah, Perlembagaan negara, sejarah kemerdekaan dan sejarah perjuangan yang lalu.
Inilah mengapa akhirnya kita putuskan untuk meletakkan syarat-syarat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengulangi harapannya agar keputusan kerajaan itu tidak terus dijadikan sebagai perbahasan politik.
“Dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri jelas, kita izinkan dari sekolah aliran Arab, sekolah tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah Cina, dengan syarat bahasa Melayu dan Sejarah.
“Jadi saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru untuk memberi tumpuan pada bidang pendidikan,” katanya. – UTUSAN










