Bekas pengetua maahad tahfiz didakwa lakukan amang seksual - Utusan Malaysia

Bekas pengetua maahad tahfiz didakwa lakukan amang seksual

AZIZUL Yahya (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 15 tuduhan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki tahun lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas pengetua sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki, tahun lalu.

Tertuduh, Azizul Yahya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 14, Azizul yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun dengan cara menghisap dan menyentuh kemaluan, melakukan onani serta mencium bibir.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dari bulan Februari hinggga Oktober 2021 di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah dekat sini.

Pendakwaan terhadap Azizul itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Azizul juga didakwa atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang mangsa dengan menunjukkan video lucah pada pukul 7.30 pagi, 18 Oktober 2021 di lokasi sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Terdahulu, Afiqa Liyana memohon tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius yang dilakukannya.

Malah katanya, lima mangsa yang terlibat dalam kes itu masih tinggal dan bersekolah di maahad tersebut.

“Dikhuatiri akan berlakunya kacau ganggu ke atas mangsa, saksi awam dan saksi-saksi pendakwaan lain,” katanya.

Bagaimanapun Muhamad Syahrul memohon satu jaminan diberikan atas alasan kes berkenaan bukanlah kes tidak boleh dijamin langsung.

Malah katanya, tertuduh juga telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan polis termasuk membuat laporan serah diri.

“Berkaitan kebimbangan kacau ganggu, tertuduh kini tidak lagi bertugas di maahad berkenaan sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menerima permohonan pasukan pendakwaan dengan tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 23 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya