PETALING JAYA: Pas mendedahkan beberapa punca yang didakwa menjadi sebab kepimpinan pusat parti itu mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan Pas.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Bersatu dan parti lain sebelum ini adalah bagi mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun (SD).
Menurut beliau, langkah itu melalui proses yang betul dan bukannya menerusi apa yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton yang bersifat singkat, sebelum diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu.
Katanya, apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, tujuan asal demi perpaduan umat didakwa telah berubah kepada usaha menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam, tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai teras pemerintahan dan dominasi Melayu bumiputera.
“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan Pas yang meneroka perubahan politik dan membodohkan Pas dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam.
“Seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi penulisan Minda Presiden Pas di Facebook, hari ini.
Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) secara rakus tanpa mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah keahlian, selain didakwa memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai jumlah ahli serta kekuatan jentera parti itu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ahli Pas yang bekerja secara sukarela terpaksa bertindak seperti buruh paksa bagi membantu calon-calon yang didakwa tidak mempunyai kelayakan dan jentera sendiri.
“Malah, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.
“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama Pas yang dikenali oleh Pas telah disingkirkan, digantung dan dipecat.
“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.
Beliau turut mengimbau episod kejatuhan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menyaksikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengisi jawatan berkenaan.
“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.
“Langkah oportunis pemimpinnya mengganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, Pas wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas sebelum ini telah berusaha melakukan pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang disifatkan lemah serta menegur sikap yang dianggap tidak wajar menerusi mesyuarat, pertemuan khusus dan perbincangan secara peribadi.
“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, Pas terpaksa menelan pahitnya dalam PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya Pas tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip serta meneruskan perjuangan secara istiqamah, khususnya dalam menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk.
“Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan parti Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain. Sehinggakan, Pas terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi.
“Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada Pas sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.
“Pas juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada Pas,” katanya. – UTUSAN










