PETALING JAYA: Beregu remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan rentak konsisten mereka apabila menjejakkan kaki buat kali pertama pada suku akhir Kejohanan Terbuka Australia yang berstatus Super 500 di Sydney, Australia, esok.
Pasangan yang kini menghuni ranking No. 84 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah, Jazmine Lam-Lim Yuan Yee 21-9, 21-18 dalm masa 26 minit pada peringkat 16 terbaik, hari ini.
Pada suku akhir, beregu yang baharu berusia 15 dan 18 tahun itu akan menghitung pertemuan dengan gandingan No. 15 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia.
Memandangkan Zi Yu-Noraqilah baru sahaja didedahkan dalam pertandingan peringkat senior pada Jelajah Dunia BWF, maka, tiada rekod pertemuan mereka menentang Febriana-Meilysa.
Pertembungan, esok, menentang Febriana-Meilysa juga bakal menjadi tumpuan peminat badminton di Malaysia dan Indonesia, setelah Zi Yu-Noraqilah berjaya mencipta kejutan ke atas beregu No. 8 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu pada pusingan pertama, Selasa lalu.
Naib juara Baoji China Masters itu menyingkirkan wakil Taiwan tersebut yang juga pilihan kedua 21-19, 13-21, 21-19 dalam masa 1 jam 10 minit.
Sementara itu, cabaran wakil tunggal Malaysia dalam sektor beregu lelaki berakhir, selepas Chia Wei Jie-Teo Ee Yi tewas kepada pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng 21-13, 18-21, 17-21 dalam masa 53 minit.
Tersingkirnya Wei Jie-Ee Yi, ini bermakna hanya Zi Yu-Noraqilah dan pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh berjaya mara sehingga ke suku akhir.
Turut ditunjukkan jalan keluar adalah pemain perseoranan wanita, Wong Ling Ching dan tiga beregu campuran, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan, Jimmy Wong-Cheng Su Yin serta Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang tumpas di tangan lawan masing-masing. – UTUSAN










