Seleweng urus jenazah: tiga kakitangan Hospital Kajang mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Seleweng urus jenazah: tiga kakitangan Hospital Kajang mengaku tidak bersalah

TERTUDUH, Mohd. Redzuan Che Husain (topi biru), Mohd. Nizam Noordin (topi merah) dan Muhd. Azhar Nahar (belakang) merupakan kakitangan awam Unit Forensik Hospital Kajang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas dakwaan menerima suapan bagi memberikan kerja pengurusan jenazah kepada seorang ejen. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga kakitangan awam termasuk seorang Penolong Pegawai Kesihatan di Hospital Kajang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini  atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM4,950 sekitar tahun 2019 hingga 2021.

Tertuduh, Mohd. Nizam Noordin, 41; Mohd. Redzuan Che Husain, 34 dan Muhd. Azhar Nahar, 44, membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim, Rozilah Salleh dan mohon dibicarakan bagi tuduhan membabitkan penyelewengan dalam pengurusan jenazah di Unit Forensik hospital berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pertama seorang Pembantu Perawatan Kesihatan gred U14, Mohd. Nizam, dituduh menerima suapan sebanyak RM600 daripada seorang lelaki dipercayai ejen, Nur Azlan Azmi, 33, bagi memberikan kerja pengurusan dua jenazah beragama Islam. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Cawangan Kajang pada 21 Mei 2020.

Sementara tertuduh kedua pula, seorang Penolong Pegawai Perubatan gred U29, Mohd. Redzuan pula berdepan sembilan pertuduhan apabila menerima suapan sebanyak RM3,450 yang diterima secara berasingan iaitu RM300 pada 18 Ogos 2019 dan 28 April 2020.

Jumlah sama turut diterimanya pada tahun 2021 iaitu 2 Februari, 11 Februari, 29 April dan 20 Julai, RM350 pula diterima pada 30 Januari dan 2 Februari 2021 dan tertinggi RM650 pada 21 Januari 2021.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dekat lokasi sama iaitu cawangan CIMB Bank di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan wang terbabit diterima untuk membenarkan ejen berkenaan menguruskan sembilan jenazah beragama Islam.

Tertuduh ketiga, seorang Pembantu Perawatan Kesihatan gred U14, Muhd. Azhar, pula didakwa di bawah dua pertuduhan kerana menerima sejumlah RM900 daripada ejen sama yang diterima secara berasingan iaitu RM600 pada 4 Jun 2020 dan RM300 pada 9 Februari lalu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kajang sebagai dorongan bagi memberikan kerja pengurusan tiga jenazah beragama Islam kepada Nur Azlan.

Kesemua pertuduhan utama didakwa dilakukan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 21, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kesemua tertuduh turut diberikan pertuduhan pilihan yang sama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwaraya SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat penyerahan pasport kepada mahkamah dan kesemua tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh Mohd. Nizam dan Mohd. Azhar diikat jamin RM4,000 masing-masing dengan seorang penjamin sementara Mohd. Redzuan pula dibenarkan diikat jamin RM5,000 juga dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh dikehendaki mematuhi syarat dinyatakan pihak pendakwaraya dan perlu melapor diri seperti ditetapkan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fikah Sanusi dan mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari hadapan.

Selain itu, dua lagi kakitangan awam berusia 34 dan 41 tahun daripada unit dan hospital sama yang disyaki terlibat dengan penyelewengan terbabit akan dituduh di Mahkamah Ipoh, Perak esok dan Alor Setar, Kedah pada Isnin hadapan.

Pada 7 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan lima kakitangan Unit Forensik sebuah hospital ditahan reman selama lima hari selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya