MELAKA: Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembahagian kerusi akan dimuktamadkan kelak menerusi rundingan bersama semua parti komponen.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, PN kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Kalau ditanya siapa mahu menjadi calon, saya mahu sekurang-kurangnya ada 28 bakal calon yang hebat-hebat untuk mewakili parti di semua kerusi DUN Melaka.
“Bagi Bersatu pula pada masa ini, ketua-ketua bahagian sudah boleh mengemukakan nama calon yang difikirkan layak kepada Datuk Dr. Radzi Jidin sebelum senarai tersebut dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi dan Majlis Mesyuarat Tertinggi Bersatu untuk diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Baitul Tariq, Klebang di sini malam tadi.
Yang hadir sama Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin berkata, pemilihan calon tidak akan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh parti.
“Semua orang boleh menawarkan diri untuk bertanding tetapi kita mahukan tokoh yang mempunyai keperibadian yang baik, pekerja yang baik, mempunyai pengalaman dan dekat dengan penduduk.
“Kita juga akan melihat kemampuan seseorang calon untuk menarik sokongan rakyat dan mencipta kemenangan di kawasan yang ditandingi,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan terus mengadakan rundingan dengan parti-parti lain yang berminat untuk bekerjasama dalam gabungan tersebut menjelang PRN Melaka.
“Pokoknya, tidak ada masalah untuk bekerjasama. Kita yakin dengan kerjasama yang terjalin bersama PN, kejayaan yang lebih besar mampu dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya.-UTUSAN.










