Malaysia sekali lagi rangkul Anugerah Labbaitom

Malaysia sekali lagi rangkul Anugerah Labbaitom

ZULKIFLI Hasan (dua dari kanan) dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain (tengah) serta pengurusan Tabung Haji bersama Anugerah Diamond Award Labbaitom semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Penambahbaikan pe­ngurusan haji dan disiplin jemaah berjaya meletakkan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengungguli Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Diamond Award Labbaitom yang merupakan pengiktirafan tertinggi itu membuktikan Malaysia terus menjadi penanda aras dunia dalam aspek perkhidmatan haji yang menyeluruh.

Katanya, TH sentiasa melakukan penambahbaikan demi keselesaan jemaah haji pada setiap tahun antaranya mengintegrasikan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) dalam operasi haji.

“Aplikasi berasaskan AI diper­kenalkan bagi membantu jemaah haji mendapatkan maklumat dan jawapan secara masa nyata selain meningkatkan kecekapan pengurusan di tanah suci.

“Bukan itu sahaja, kita turut melaksanakan inisiatif Green Haji Lestari serta kempen kebersihan bagi memastikan pengurusan haji lebih lestari dan mesra alam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Labbaitom oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di sini semalam.

Beliau berkata, kejayaan tersebut hasil komitmen kerajaan dan TH bersama para petugas, jemaah dan pendeposit dalam menyokong perkhidmatan terbaik bermula daripada persediaan sebelum, semasa dan selepas musim haji.

Katanya, disiplin dan akhlak jemaah haji Malaysia juga menjadi faktor penting kejayaan negara mengekalkan reputasi sebagai antara jemaah terbaik dunia.

“Jemaah haji Malaysia terus dikenali sebagai antara jemaah terbaik dunia kerana disiplin, akhlak dan kepatuhan kepada peraturan yang sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas haji yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Zulkifli juga berkata, hubu­ngan baik antara Malaysia dan Arab Saudi banyak membantu TH meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada TH atas pengiktirafan berprestij yang diterima itu.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi TH serta petugas haji yang dalam memberikan perkhid­matan terbaik dalam mengurus jemaah haji Malaysia,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN