Pegawai Maritim Malaysia tidak mengaku salah terima RM26,200 daripada nelayan - Utusan Malaysia

Pegawai Maritim Malaysia tidak mengaku salah terima RM26,200 daripada nelayan

MOHD. NORIZAN Yahaya (tengah) tidak mengaku bersalah selepas didakwa atas 32 pertuduhan menerima suapan dari seorang nelayan di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 32 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM26,200 daripada nelayan, empat tahun lalu. 

Bagaimanapun, Mohd. Norizan Yahaya, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zani. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 13 Mei 2018 hingga 30 Mei 2019 di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Mahkota Square Jalan Mahkota, Kuantan.

Dia yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Bintara Kanan Maritim, dituduh menerima suapan melalui akaun bank miliknya dengan jumlah antara RM200 hingga RM1,000 daripada Neo Siang Joo yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai pegawai penguat kuasa di Zon Maritim Kuala Kedah, Kedah. 

Suapan itu didakwa diterima tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot milik Siong Joo. 

Kes pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah. 

Dalam prosiding itu, pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fauzee Azizan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan sementara menunggu tarikh sebutan semula kes dan perbicaraan, selain memohon mahkamah memindahkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Alor Setar, Kedah bagi menjimatkan masa dan kos. 

Bagaimanapun, Mohd. Norizan yang tidak diwakili peguam meminta agar wang ikat jamin dikurangkan atas alasan menanggung isteri yang sakit dan anak masih bersekolah. 

Tertuduh memaklumkan isterinya menghidap kanser rahim dan memerlukan perbelanjaan banyak setiap bulan. 

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai. 

Kes disebut semula 6 Januari tahun depan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya