Peguam mohon pandangan pihak pendakwaan tidak diambil kira - Utusan Malaysia

Peguam mohon pandangan pihak pendakwaan tidak diambil kira

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diminta agar tidak mengambil kira pandangan pihak pendakwaan ketika mengaitkan tabiat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya yang gemar membeli belah barangan berharga yang didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam Hamidi Mohd. Noh berhujah, pandangan tersebut tidak sewajarnya dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia tidak relevan dalam kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri.

Beliau merujuk kepada butiran penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis menjelaskan bil kad kredit melebihi RM1.3 juta menggunakan wang Yayasan Akalbudi selepas membeli belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes dalam tempoh dua tahun.

Raja Rozela ketika itu berhujah antara lain menyatakan: “Walaupun diakui tabiat berbelanja tertuduh dan isteri mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di negara ini ketika membeli belah di gedung berjenama dan mewah.”

Yayasan Akalbudi yang dimiliki oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwujudkan sejak 2013 bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin.

Sehubungan itu, Hamidi memohon pandangan mengenai tabiat berbelanja Ahmad Zahid dan Hamidah tidak diambil kira oleh mahkamah kerana ia memprejudiskan anak guamnya dan isteri.

Ujar beliau, pihak pembelaan benar-benar tersinggung dengan kenyataan itu yang tidak sepatutnya dibangkitkan oleh pihak pendakwaan pada sesi penghujahan.

Dalam prosiding hari ini, Hamidi turut menyatakan bahawa Ahmad Zahid tidak sepatutnya didakwa di mahkamah, sebaliknya pihak yang melakukan kesalahan adalah bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan.

Hujah beliau, Mejar Mazlina bukan `kambing hitam’ (scapegoat) dalam kes tersebut sebaliknya saksi pendakwaan ke-90 itu merupakan penyebab kepada pendakwaan terhadap tertuduh.

Pihak pembelaan sebelum ini menghujahkan, Mejar Mazlina bukan saksi yang boleh dipercayai berdasarkan pernyataannya yang tidak konsisten, kelemahannya dalam mengingat dan menggambarkan peristiwa lepas serta sikapnya semasa pemeriksaan balas.

Sehubungan itu, pembelaan berhujah pihak pendakwaan tersilap apabila beranggapan bahawa Ahmad Zahid berhasrat untuk menjadikan Mejar Mazlina sebagai ‘kambing hitam’ atas kesalahan yang dilakukannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya