KUALA LUMPUR: Pemimpin politik perlu jaga adab, elak kenyataan provokasi
Baginda bertitah, pemimpin politik juga perlu berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan kemarahan rakyat.
Titah baginda, bahang pilihan raya mula dirasai sejak kebelakangan ini apabila ahli politik mula mengatur langkah untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.
“Akhir-akhir ini bahang pilihan raya telah mula terasa dan orang politik telah mula mengatur langkah untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.
“Nasihat saya kepada semua pemimpin politik, jagalah adab, tutur kata serta berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan.
“Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif berkaitan raja, bangsa dan agama kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. – UTUSAN










