Jilat jari: Anggota tentera didakwa cabul kehormatan pekerja kedai vape - Utusan Malaysia

Jilat jari: Anggota tentera didakwa cabul kehormatan pekerja kedai vape

SEORANG anggota Angkatan Tentera Malaysia yang tular menjilat tangan seorang pekerja wanita sebuah kedai vape mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul. Tertuduh, Zynetlee Von Zim, 27, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini. -UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja berusia 18 tahun di sebuah premis menjual vape di Taman Keramat, di sini, awal bulan lalu.

Zynetlee Von Zim, 27, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pekerja kedai vape itu dengan cara memegang tangan kanan dan menghisap jari telunjuknya dengan niat mencabul kehormatan mangsa pukul 1.28 tengah hari pada 5 Oktober lalu.

Video rakaman aksi seorang lelaki berpakaian seragam tentera memegang dan menjilat jari seorang pekerja kedai vape ketika mahu menukar dan menghisap pod vape, kemudian tular di laman sosial.

Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan,  pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun peguam Adi Zulkarnain Zulkafli memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isterinya yang baru melahirkan anak dan keluarganya berada di Sabah.

Ujarnya, tertuduh hadir sendiri di mahkamah dengan jaminan polis dan bersetuju dengan syarat-syarat yang dicadangkan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Nur Maizan Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

“Tertuduh dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada 5 haribulan setiap bulan. Memandangkan tertuduh tidak mempunyai pasport, mahkamah membatalkan syarat itu (serahan pasport),” ujar beliau.

Tarikh 12 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan kes.

Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan seorang anggota tentera yang didakwa menjilat jari seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat, ditahan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki itu diberkas pukul 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas kelengkapan uniform yang dipercayai dipakai suspek semasa kejadian manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek juga telah dibuat dan keputusannya adalah negatif dadah.

Semakan mendapati suspek bertugas di Cawangan Tentera Darat, Kem Batu Kentonmen di sini dan telah berkhidmat dengan ATM selama tujuh tahun. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya