Kelulusan EIA untuk projek PSR dibatalkan  - Utusan Malaysia

Kelulusan EIA untuk projek PSR dibatalkan 

PROJEK PSR yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdepan cabaran selepas Lembaga Rayuan JAS memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tersebut hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR) yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang, berdepan cabaran selepas Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tersebut hari ini. 

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dan Prof. Madya Dr. Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia). 

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah. 

Terdahulu, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan JAS oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974). 

Menurut peguam yang mewakili Zakaria, R. Meenaksi, keputusan itu adalah satu kemenangan besar kepada masyarakat nelayan dan pejuang alam sekitar yang sejak dari awal membantah projek berkenaan. 

“Ini satu kemenangan buat semua pihak yang tidak bersetuju dengan projek ini sejak awal ia diumumkan oleh kerajaan negeri. 

“Keputusan ini sangat penting kerana ia tidak hanya mustahak untuk kes PSR, tetapi melibatkan kelulusan semua EIA oleh JAS,” katanya di sini hari ini. 

Meenaksi berkata, antara implikasi yang dihadapi ekoran kelulusan berkenaan ialah sekiranya kerajaan negeri dan pemaju mahu meneruskan projek PSR, mereka perlu mengemukakan permohonan EIA baharu kepada JAS. 

“Dengan pembatalan EIA itu, ini bermakna Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek itu yang sedang ditunggu kelulusannya juga tidak boleh diguna pakai lagi. 

“Ini kerana kelulusan untuk mendapatkan EMP turut berkait rapat dengan kelulusan EIA yang diperoleh lebih awal, ini bermakna segala proses perlu dimulakan kembali oleh kerajaan negeri dan pemaju,” katanya. 

Tambah beliau, kumpulan nelayan serta pejuang alam sekitar tidak akan berhenti untuk membantah projek berkenaan sekiranya ia tetap mahu diteruskan oleh kerajaan negeri selepas ini. 

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya berterima terima kasih kepada semua pihak yang menyokong usahanya untuk mengemukakan rayuan serta bantahan terhadap kelulusan EIA bagi projek PSR itu. 

“Semangat yang mereka berikan membuatkan saya terus berjuang menentang projek PSR ini untuk masyarakat nelayan di kawasan ini,” katanya. 

Utusan Malaysia menerusi laporan khas tahun lalu pernah menyiarkan mengenai kebimbangan kumpulan nelayan terhadap projek tambak laut itu yang bakal menjejaskan mata pencarian kira-kira 3,000 nelayan di Pulau Pinang. 

Ia berikutan lokasi tambak laut yang dicadangkan iaitu di perairan Teluk Kumbar berkenaan merupakan lubuk rezeki bukan hanya kepada nelayan Pulau Pinang, malah nelayan dari negeri-negeri utara lain yang turut menangkap ikan di kawasan berkenaan.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.