Halang tugas anggota trafik: PATI dipenjara, disebat - Utusan Malaysia

Halang tugas anggota trafik: PATI dipenjara, disebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Padah menimpa seorang buruh binaan warga Indonesia apabila dia dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menghalang tugas anggota trafik melakukan sekatan jalan raya tiga minggu lalu.

Tertuduh, Romli, 35, yang juga merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) diperintahkan menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari. 

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal dengan gagal berhenti semasa pemeriksaan sekatan jalan raya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Puncak Perdana Shah Alam pukul 8.10 pagi, pada 18 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu turut dipenjara tiga bulan, satu sebatan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas mengaku bersalah atas lagi pertuduhan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama dan waktu yang sama mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).

Berdasarkan kesalahan itu, dia boleh didenda RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman dikurangkan susulan mempunyai dua orang anak dan menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam. 

Terdahulu, viral video seorang pegawai polis cedera dilanggar sebuah kenderaan yang lari daripada pemeriksaan sekatan jalan raya berhampiran bulatan Puncak Perdana.

Dalam kejadian tersebut, pegawai polis berpangkat inspektor itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya