BUKIT MERTAJAM: Seramai 40 orang warga emas Rumah Sejahtera Permatang Tinggi di sini, diraikan oleh kakitangan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah dalam sebuah majlis jamuan sederhana sempena sambutan Tahun Baharu Cina, esok.
ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan di peringkat pusat khidmatnya iaitu melalui penganjuran acara jamuan selain pemberian ‘angpau’ dan limau Mandarin kepada penghuni rumah jagaan itu.
“Saya sifatkan program ini sebagai tanda penghargaan buat warga emas yang pernah menyumbang manfaat terhadap pembangunan negara dan penganjuran program ini juga adalah sebagai tanda sokongan kita terhadap mereka agar mereka tidak berasa tersisih daripada masyarakat.
“Pada masa yang sama, dengan adanya program seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan mereka terhadap insan tersayang selain memberi sedikit senyuman buat mereka yang kebanyakannya hidup sebatang kara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi, Datuk Tan Yong Seng berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan daripada warga KADUN Bukit Tengah yang tidak lupa untuk berkongsi rezeki bersama penghuni Rumah Sejahtera Permatang Tinggi kali ini.
“Bagi penghuni di sini, ia sudah cukup menggembirakan mereka apabila ada orang (pelawat) datang bertanyakan khabar, makan bersama-sama serta bercerita tentang keadaan semasa.
“Sekurang-kurangnya ia dapat mengisi kekosongan di hati mereka yang kita tak dapat nak rasa,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia Negeri Pulau Pinang.-UTUSAN










