GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang gadis di sebuah pusat beli-belah, minggu lepas.
Tertuduh, Chuah Cheng Seng, 71, yang juga seorang pesakit kencing manis bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan dalam dialek Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa iaitu seorang gadis berusia 18 tahun di tandas lelaki tingkat dua, sebuah pusat-beli belah di Persiaran Gurney di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa pada masa dan lokasi yang sama dengan pertuduhan pertama.
Pertuduhan bagi kesalahan ini pula dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tempoh lima hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.
Ketika prosiding, Anuarul Hakim menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon beberapa syarat tambahan termasuk mahu tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Mahendran merayu agar mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya sudah berusia 71 tahun, tidak bekerja dan kini ditanggung oleh anaknya yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan selain bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 November depan bagi tujuan serahan dokumen.
Sebelum ini, warga emas terbabit telah direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan serangan seksual terhadap anak perempuan majikannya yang berusia 18 tahun di sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney, di sini.-UTUSAN











