Tradisi unik pemandu lori beri makan kera liar - Utusan Malaysia

Tradisi unik pemandu lori beri makan kera liar

R. Saravanan (kanan) dan R. Murali (dua dari kanan) serta seorang rakan memberi makan kepada kera liar di Restoran Jejantas Ayer Keroh arah ke Utara. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai yang singgah di Restoran Jejantas Ayer Keroh arah ke Kuala Lumpur teruja melihat ramai pemandu lori yang berehat di kawasan tersebut akan memberi makan kepada puluhan kera liar di kawasan hutan berdekatan.

Lebih mencuri perhatian apabila setiap lori yang tiba diletakkan berhampiran kawasan hutan tersebut, pastinya puluhan primat itu akan mula berkumpul seolah-olah menanti makanan yang akan diberi.

Tidak terkecuali pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) yang singgah berehat di situ turut memberi makan kepada kera liar itu dengan pelbagai jenis makanan yang dibeli di kawasan berhampiran.

Bagi seorang pemandu lori R. Saravanan, 45, dari Pulau Pinang berkata, sudah menjadi tradisi sepanjang tempoh enam tahun, dia mesti singgah di Restoran Jejantas itu untuk memberi makan kepada kera yang terdapat di kawasan tersebut.

“Saya rasa seronok apabila dapat memberi makanan kepada haiwan yang banyak ada di kawasan tempat lori parkir. Setiap kali saya sampai sudah banyak haiwan ini akan menghampiri lori menunggu untuk makan.

“Bagi saya ini sudah menjadi rutin setiap kali pulang selepas menghantar barang, saya akan singgah di sini. Bukan sekadar hendak berehat selepas memandu terlalu lama tetapi yang penting dapat beri makanan kepada haiwan ini adalah satu kepuasan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Saravanan berkata, dianggarkan antara 20 hingga 30 lori yang melalui laluan Lebuh Raya tersebut pasti akan singgah di kawasan Rawat dan Rehat (RnR) ini.

Katanya, tradisi memberi makan kepada kera liar sudah lama diamalkan dalam kalangan pemandu lori yang melalui lebuh raya itu.

Bagi seorang lagi pemandu, R. Murali, 40, dari Ipoh berkata, sudah 13 tahun dia tidak pernah melepas peluang memberi makanan kepada primat di situ.

Menurutnya, setiap kali selepas menghantar barang ke Singapura dan sewaktu balik ke Ipoh, dia akan singgah untuk memberi makan kepada kera liar di kawasan hutan berhampiran.

“Kebiasaannya saya akan belanja sebanyak RM30 untuk beli sama ada pisang atau roti dan makanan lain. Saya rasa gembira bila lihat kera datang dan mengambil makanan daripada tangan saya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya