Shima bangkit majukan bisnes kad kahwin - Utusan Malaysia

Shima bangkit majukan bisnes kad kahwin

SELEPAS lebih 10 bulan tidak beroperasi, syarikat Kad Kahwin Epzone di Butterworth, Pulau Pinang mula menerima tempahan secara berperingkat-peringkat daripada pelanggan mereka khususnya pasangan bakal 'raja sehari'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Ketika beberapa pesaingnya sudah ‘gulung tikar’, Nazatul Shima Amil, 30, masih bertahan dengan perniagaannya walaupun hampir ‘terduduk’ gara-gara tidak mampu menampung kerugian yang besar.

Pernah merekodkan jualan hingga mencecah lima angka sebulan, wanita yang mengusahakan bisnes percetakan kad kahwin secara pakej itu bagaimanapun terpaksa akur apabila jumlah itu turun secara mendadak hingga ke angka sifar.

Semuanya disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta pandemik Covid-19 hingga membantutkan hampir semua operasi syarikatnya iaitu perniagaan Kad Kahwin Epzone.

Disebabkan itu juga, anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui buntu pada peringkat awal kerana perlu membayar kos sewa kedai dan utiliti meskipun perniagaannya terpaksa ditutup untuk sementara waktu.

Berbekalkan wang simpanannya yang semakin susut, Nazatul Shima kemudian mula mengatur langkah dengan melakukan beberapa pekerjaan sampingan.

“Masa awal-awal PKP itu saya cuba juga buat beberapa kerja seperti membekalkan barangan runcit sebab saya tahu, pada masa itu, ramai orang tidak dapat keluar dari rumah.

“Apabila PKP dilonggarkan, saya cuba pula buat surprise delivery (khidmat penghantaran hadiah secara mengejut) dan alhamdulillah, ia sedikit sebanyak membantu saya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nazatul Shima memberitahu, ketika ini dia boleh kembali menghela nafas lega apabila perniagaannya dibenarkan beroperasi semula terutama secara fizikal sekali gus berazam untuk kembali bangkit.

Bagaimanapun, pemegang ijazah dalam bidang pengajian syariah itu berkata, selain menggiatkan promosi, tumpuannya kini lebih terarah kepada usaha menyelesaikan kerja-kerja pencetakan yang tertangguh sebelum ini.

“Ada pelanggan hubungi saya beritahu nak batalkan (tempahan) dan ada juga nak teruskan. Sepanjang tahun lepas sahaja boleh dikatakan ada sehingga 20 tempahan yang tertangguh kerana mereka sendiri tidak pasti sama ada mahu teruskan (perkahwinan) atau tidak pada masa itu.

“Pelanggan yang batalkan terus tempahan pun ramai. Boleh dikatakan hampir 70 peratus,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan jurugambar serta pakej jualan aiskrim untuk kenduri bersama beberapa rakannya.

Jelas Nazatul Shima yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak enam tahun lalu, walaupun berhasrat membuka cawangan baharu selepas ini, namun katanya, namun ia terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi menumpukan kepada kerja-kerja promosi dan jualan secara dalam talian khususnya melalui Facebook.

“Ada juga yang sarankan supaya saya menjual produk menerusi platform digital seperti Shopee, tapi untuk kad kahwin sebenarnya agak rumit kerana rata-rata pelanggan agak cerewet.

“Jika sebelum PKP, nak dapatkan design (reka bentuk) kad yang sesuai sahaja sudah ambil masa seminggu,” ujarnya yang berhasrat memperkenalkan produk minyak wangi jenamanya sendiri selepas ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya