Isu kecam marshal: ‘Marshal, ketua konvoi tidak sama’ -Daz Bikers - Utusan Malaysia

Isu kecam marshal: ‘Marshal, ketua konvoi tidak sama’ -Daz Bikers

TANGKAP layar rakaman video tular memaparkan aksi individu yang bertindak sebagai marshal memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan motosikal berkuasa tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Marshal dan ketua konvoi bermotosikal adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami oleh rakyat khususnya pengguna jalan raya di negara ini. 

Marshal hanya akan berfungsi sepenuhnya apabila diiringi oleh polis dan berperanan sebagai pembantu anggota keselamatan yang mengiringi untuk melancarkan laluan trafik semasa aktiviti berkonvoi. 

Bagi ketua konvoi pula, ia tidak perlu melibatkan anggota polis dan peranan utamanya bagi memastikan keselamatan konvoi yang dibawa.

Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, isu ketua konvoi mengarahkan pengguna jalan raya lain berhenti adalah terpencil dan jika berlaku pun ia melibatkan situasi tertentu contohnya konvoi hendak keluar simpang.

ZUHAIRI AB KADIR

Katanya, situasi sedemikian bukan saja melibatkan motosikal berkuasa tinggi malah lori di kawasan pembinaan pun jika hendak keluar simpang ada individu menahan kenderaan lain berhenti. 

“Jadi kenapa lori hendak keluar simpang boleh orang tahan bagi lori itu mengundur dulu, kenapa isu tidak timbul? tapi apabila motosikal berkuasa tinggi jadi masalah dan tular. Sebenarnya, apa kita buat untuk kebaikan bersama seluruh pengguna jalan raya, kita hendak elak kemalangan. 

“Jadi kita jangan letak kesalahan itu pada tugasan marshal, sebab marshal memang tidak boleh tahan kenderaan, itu kita faham, tapi semasa kejadian kita bukan jalankan tugas marshal, sebagai penunggang motosikal kita mahukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya, jangan anggap bila buat begitu marshal. 

“Ini kerana pergerakan kita (motosikal berkuasa tinggi) beberapa saat sahaja boleh sampai ke destinasi. Kadang-kadang orang keluar simpang ingat masih jauh dan sempat, ini boleh membahayakan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Mega Ride 2021 membabitkan 180 buah motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur ke Cherating menyampaikan sumbangan di sebuah pusat tahfiz di Beserah di sini. 

Baru-baru ini, polis mengesan kumpulan konvoi motosikal tinggi yang membuat lagak aksi marshal di jalan awam di Negeri Sembilan. 

Rakaman itu menunjukkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mana-mana pihak yang ingin melakukan konvoi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sebarang tindakan dilakukan sejajar undang-undang jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan sebagai berkata, mana-mana pihak tidak mempunyai kuasa untuk memberhentikan kenderaan selain anggota trafik. 

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, cukup-cukuplah mencipta isu, kita seharusnya bersama-sama menjaga keharmonian supaya tiada pembuli jalan raya dan mengelakkan situasi yang boleh menjejaskan pengguna jalan raya.

“Bak kata pepatah, kita dua roda dihimpit pun kita jatuh, menghimpit pun kita jatuh.

“Tiada niat hendak berlagak daripada setiap tindakan dilakukan, sebaliknya hanya mahu pastikan semua pengguna jalan raya selamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya