Aktifkan semula Wang Kelian - Utusan Malaysia

Aktifkan semula Wang Kelian

PULUHAN lot gerai usang ditinggalkan peniaga di belakang arked niaga pekan sehari Wang Kelian, Padang Besar, Perlis. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Suasana di Wang Kelian khususnya di kawasan yang terkenal dengan perdagangan bebas satu ketika dahulu diibarat seperti pekan mati dengan ratusan gerai perniagaan di situ terbiar begitu sahaja.

Pemerhatian Utusan Malaysia di kawasan belakang arked niaga Wang Kelian, mendapati lebih 100 lot gerai di situ agak usang, malah prasarana seperti surau dan tandas juga terbiar tanpa sebarang penyelanggaraan.

Laluan sempadan Wang Kelian-Wang Prachan, Thailand itu dilihat hanya dilintasi beberapa kenderaan perdagangan sahaja yang membawa muatan bawang selain kenderaan kontraktor memasuki Taman Negeri Perlis sepanjang hampir dua jam tinjauan dilakukan.

Seorang penduduk Kampung Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar, 46, berkata, kawasan perdagangan bebas Malaysia-Thailand satu ketika dahulu pernah mencatatkan kira-kira 20 bas sehari yang membawa pelancong dari seluruh negara membeli-belah di pasar sempadan pada hujung minggu.

Bagaimanapun katanya, suasana seperti itu sudah tidak ada dan keadaan sunyi sepi.

Katanya, suasana itu telah berlarutan hampir tujuh tahun selepas kerajaan mengumumkan penutupan Zon Aliran Bebas pada April 2015 susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu.

“Saya mohon kepada kerajaan supaya membuka semula zon aliran perdagangan bebas atau ‘free flow’ agar dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta memberikan peluang penduduk tempatan menambah pendapatan.

“Rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai pesawah, penoreh getah atau bekerja sendiri. Sekiranya pasar sempadan dibuka, sekurang-kurangnya mereka boleh berniaga, mengusahakan kedai makan, menjadi peniaga atau pun menjadi penjaga parkir kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, sekiranya faktor ancaman keselamatan menjadi alasan zon perdagangan bebas itu tidak dibuka, dia mencadangkan supaya lebih ramai anggota keselamatan ditempatkan di kawasan tersebut.

Menurut Zunaidi, selain pembukaan zon aliran bebas, dia juga berhasrat untuk melihat Wang Kelian dibangunkan semula sepenuhnya sebagai produk pelancongan utama di Perlis.

“Kawasan sempadan dua negara ini berpotensi besar untuk dibangunkan semula dan mampu untuk hidup kembali bagi menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa khususnya dari Thailand ke negara ini.

“Dengan pembukaan zon aliran bebas, setidak-tidaknya hampir 300 penduduk kampung ini dapat menikmati tempias ekonomi seperti dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya