Tunai nazar jalan kaki 290 kilometer - Utusan Malaysia

Tunai nazar jalan kaki 290 kilometer

KEPULANGAN Mohd. Syahrizal Harun (dua dari kiri) disambut Che Ibrahim Che Ismail (dua dari kanan) di Hentian Gua Musang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki menunaikan nazarnya untuk berjalan kaki sejauh 290 kilometer merentas negeri Selangor dan Pahang sebelum tiba di tanah kelahirannya di Kampung Bertam Baru, di sini.

Mohd. Syahrizal Harun, 40, atau lebih dikenali sebagai Mat yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di ibu kota berjaya menunaikan nazar tersebut selepas berjalan kaki selama empat hari.

Menurut Mat, sebelum ini, dia hidup dalam tekanan gara-gara sudah dua tahun tidak dapat balik ke kampung halamannya akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Katanya, sebelum kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan, dia bernazar untuk pulang ke kampung dengan cara berjalan kaki sebagai tanda syukur dan gembira masih diberi kesempatan pulang bertemu keluarga tercinta.

“Pada malam Khamis lalu, saya berjalan kaki bermula dari Tol Gombak pada pukul 11 malam, dengan berbekalkan pelitup muka dan air mineral. Alhamdulillah, saya selamat sampai di Hentian Gua Musang pada pukul 5 pagi ini.

“Sepanjang perjalanan pada hari kedua dan ketiga saya kerap kali berhenti kerana cuaca hujan, selain perlu merawat kaki yang melecet kerana berjalan jauh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hentian Gua Musang, di sini hari ini.

Ketibaan Mat disambut Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail bersama Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mat berkata, dia tidak sabar untuk bercuti dan berehat di kampung setelah dua tahun tidak bertemu dengan keluarga dan selama ini hanya melepaskan rindu menerusi panggilan video.

“Saya baru berkesempatan untuk menunaikan nazar kerana sebelum ini masih lagi bekerja dan mengumpul wang untuk pulang ke kampung.

“Saya bersyukur kerana selain dorongan keluarga dan rakan-rakan, saya turut mendapat bantuan pemilik Konsortium E-Mutiara dan dermawan lain bagi menampung belanja bagi menunaikan nazar saya ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN