IPOH: Kedai makan, Port Lepak Jerung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, yang dikesan berlaku cerun runtuh diarah tutup mulai semalam sebagai langkah keselamatan.
Pemiliknya, Shahidan Mohamad, 47 berkata, notis makluman penutupan sementara itu dikeluarkan oleh Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung.
Katanya, berdasarkan notis yang ditampal di kedainya, arahan menutup sementara sehingga 31 Januari ini bagi tujuan siasatan lanjut.
“Saya harap notis penutupan ini diberikan hanya sebulan sahaja. Janganlah terlalu lama sebab dengan penutupan ini ia menjejaskan perniagaan saya.
“Sekarang cuti sekolah sepatutnya saya berniaga di sini, rezeki saya di sini. Apabila sudah jadi macam ini, ia sudah menutup rezeki saya, saya rasa kesal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shahidan mendakwa runtuhan cerun yang berlaku di tepi kedai makan yang diusahakannya berlaku berpunca daripada longkang yang menyebabkan aliran air tidak sempurna.
Menurutnya, perkara itu sudah diadukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) namun dimaklumkan kawasan tersebut di bawah Jabatan Perhutanan Perak.
“Keadaan sekarang tidak berlaku ketika premis berkenaan mula beroperasi kerana sistem perparitan dan longkang diselenggara dengan baik.
“Kerosakan pada longkang menyebabkan aliran air tidak dapat mengalir dengan sempurna, sekali gus mengakibatkan hakisan tanah di kawasan berkenaan.
“Saya berharap agar pihak berkaitan dapat segera membaiki longkang yang terputus bagi memastikan aliran air terkawal dan mengelakkan keadaan bertambah buruk.
“Kalau tidak runtuhan cerun akan jadi semakin besar dan tidak mustahil jalan utama akan terputus,” katanya.
Sebelum ini, kawasan persinggahan popular itu menjadi tular di media sosial selepas gambar pemandangan dari udara mendedahkan keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan.
Rakaman menggunakan dron menunjukkan sebahagian tanah berhampiran kawasan tempat makan itu telah terhakis, sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai.
Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, pihak JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. – UTUSAN










