Malaysia hilang ratusan juta ringgit gagal urus bahan kitar semula

Malaysia hilang ratusan juta ringgit gagal urus bahan kitar semula

HALIZA ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dianggar kehilangan ratusan juta ringgit setahun akibat pengabaian dan gagal mengurus bahan kitar semula bernilai tinggi.

Mengikut data Perba­danan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2023, sebanyak RM291 juta berpotensi dijimatkan jika bahan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, dan logam dikendali dengan betul melalui kitar semula.

Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, jumlah terbabit mewakili nilai sisa hampir satu juta tan yang hilang kerana amalan pengurusan sisa tidak optimum.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebanyak 39,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari bersamaan satu kilogram sisa bagi setiap orang di negara ini namun sebahagian besar sisa ini masih dibawa terus ke tapak pelupusan kerana kadar kitar semula yang rendah berbanding sasaran.

“Kadar kitar semula di Malaysia ketika ini hanya sekitar 33 peratus masih jauh dari sasaran 40 peratus untuk tahun ini. Walaupun menunjukkan peningkatan, ia masih belum mencukupi untuk menampung jumlah sisa plastik yang dihasilkan.

“Malah, mengikut data SWCorp, sebanyak RM291 juta boleh dijimatkan sekiranya sampah atau sisa yang boleh dikitar semula diuruskan dengan baik dan bukan dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Kehilangan (jumlah) ini bukan sekadar angka kerana plastik yang dibuang boleh menyumbang hampir RM70 juta kepada pendapatan ne­gara manakala kertas dan logam berpotensi memberikan pulangan puluhan juta ringgit tamba­han jika dikitar semula di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, negara telah melakukan beberapa inisiatif utama seperti Malaysia Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018–2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021–2030 yang bertujuan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menggalakkan ekonomi kitaran.

Katanya, melalui dasar ini, kerajaan menyasarkan peningkatan kadar kitar semula plastik, penggunaan bahan pembungkusan yang lebih lestari, serta penglibatan pengeluar melalui mekanisme Extended Producer Responsibility (EPR).

Namun ia tidak mencukupi kerana pelaksanaan dasar yang tidak seragam antara negeri akibat perbezaan keupayaan dan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.

“Untuk memperkukuhkan dasar plastik di Malaysia, kerajaan perlu menggubal undang-undang nasional yang mewajibkan pengurangan plastik sekali guna secara seragam di semua negeri, disertai penguatkuasaan dan penalti yang tegas.

“Selain itu, pelaksanaan EPR perlu dipercepat dan diperluaskan supaya pengeluar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kitar hayat produk plastik mereka, sekali gus mengurangkan beban pengurusan sisa kepada kerajaan selain pelaburan dalam infrastruktur pengasingan dan kitar semula sisa, termasuk kemudahan di kawasan luar bandar,” katanya.

Akhbar ini melaporkan krisis plastik di negara ini bukan lagi permasalahan alam sekitar tetapi kelemahan dasar tetapi kegagalan industri dan masyarakat.

Walaupun Malaysia kononnya serius menangani isu sisa namun realitinya lebih 130 tapak pelupusan terus menerima sampah tanpa henti dan menampung beban yang mustahil untuk jangka masa panjang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×