Stamina keutamaan Aaron sebelum Terbuka Malaysia

Stamina keutamaan Aaron sebelum Terbuka Malaysia

Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberi tumpuan kepada peningkatan stamina dalam latihan menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia bulan depan. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia melaungkan komitmennya untuk mengekalkan tahap kecergasan dan stamina menjelang saingan musim baharu yang dibuka dengan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, 6 Januari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu menjelaskan, dia bersama pasangannya, Soh Wooi Yik menjalani program pemulihan fizikal sebagai sebahagian daripada rutin latihan bagi memastikan prestasi optimum pada musim depan, terutamanya dengan faktor usia yang semakin meningkat.

Aaron berkata, menjelang musim 2026, mereka merancang melakukan beberapa penyesuaian termasuk pemilihan kejohanan yang benar-benar perlu disertai, termasuk daripada 12 kejohanan Jelajah Dunia BWF yang diwajibkan.

“Mungkin itu (stamina) adalah pandangan jurulatih, beliau rasa fizikal kami perlu dipertingkatkan lagi, bukan bermakna kami paling tua tetapi sebagai pemain senior, tahap kecergasan harus dipertahankan.

“Kami berharap dapat mengekalkan tahap kecergasan dan fizikal, dan kami sentiasa mengikuti program latihan dan pemulihan yang telah disediakan, jadi itu bukan satu masalah,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Sebelum ini, Herry menekankan kepentingan faktor kecergasan dalam membentuk barisan pemain yang mampu mengekalkan prestasi konsisten, terutamanya ketika temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.

Dalam masa yang sama Aaron turut menekankan sasaran untuk menyertai kurang daripada 20 kejohanan sepanjang musim depan bagi memastikan tahap kecergasan dan prestasi berada pada tahap optimum sepanjang tahun.

“Kami merancang untuk mengambil bahagian sekitar 18 hingga 20 kejohanan sahaja, malah kami akan cuba kekalkan jumlah di bawah 20 supaya kondisi dan kecergasan sentiasa terjaga,” katanya.

Beliau menambah, sasaran mengekalkan kedudukan ranking dalam kelompok tiga teratas juga penting bagi memudahkan cabaran dari segi undian peringkat awal kejohanan.

“Kedudukan dalam kelompok tiga teratas kadang-kadang memberi kelebihan dari segi undian, jadi kami akan berusaha mengekalkannya sambil memastikan prestasi fizikal berada pada tahap terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×