Industri ikan eksotik patin Temerloh kembali pulih - Utusan Malaysia

Industri ikan eksotik patin Temerloh kembali pulih

SEBUAH restoran menghidangkan menu ikan eksotik Sungai Pahang termasuk ikan patin kembali dipenuhi pelanggan di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Industri ikan patin Temerloh yang jatuh merudum kesan pandemik Covid-19 dan sekatan rentas negeri kembali pulih sebaik sahaja sempadan negeri dibuka pada 11 Oktober lalu.

Ini berikutan rantaian perniagaan membabitkan ikan patin Temerloh dan lain-lain spesies popular kembali mendapat permintaan dengan kehadiran penggemar memenuhi kedai makan sekitar Bandar Ikan Patin di sini.

Industri ikan patin di daerah ini membabitkan penternak ikan dalam sangkar di sepanjang Sungai Pahang dan pengusaha kedai makan di Lembah Semantan di pinggir Sungai Pahang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penternak dan penjual ikan Sungai Pahang Ori, Aizun Zainuddin, 48, mengakui urusniaga semakin pulih dan mencapai tahap hampir 100 peratus.

Ini kerana katanya, peniaga tempatan dan dari Lembah Klang kembali membuat tempahan tetap pada setiap hari berbanding ketika sempadan ditutup.

“Penternak ikan sangkar ketika ini sudah kembali tersenyum lebar kerana beroleh sedikit keuntungan berbanding dahulu ramai yang perniagaan mereka ibarat nyawa-nyawa ikan sahaja,” katanya di sini semalam.

Aizun yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Bujul mengakui bernasib baik kerana lokasi perniagaannya berhampiran Sungai Pahang di laluan Temerloh -Bera sentiasa dikunjungi peminat ikan Sungai Pahang.

Menurutnya, selain ikan patin sangkar, dia juga menawarkan ikan Sungai Pahang Ori sejuk beku mengikut stok seperti patin buah, ikan tapah, kerai, tengalan, ikan ubi, belida, tamalian, gohok dan ikan baung dengan harga berpatutan.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Haziqee Halid, 30, berkata, perniagaan ikan patin dan tilapia sangkar kembali di landasan sebenar berikutan kehadiran penggemarnya yang berpusu-pusu sebaik sahaja bebas daripada sekatan rentas daerah dan juga negeri.

Menurutnya, ikan patin, tilapia, baung, kerai, udang galah dan lampam jawa turut mendapatkan permintaan tinggi dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Melaka, negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Tambah beliau, penternak dan peniaga kedai makan ibarat isi dengan kuku dan saling bergantungan antara satu sama lain bagi menampung keperluan pengguna tempatan dan juga dari luar Pahang.

Beliau berkata, kedai makan popular Temerloh seperti Go Bang Maju Patin Tempoyak di lokasi baharu Kampung Raja sentiasa penuh dengan penggemar ikan eksotik itu termasuk Kedai Pak Usop, Claypot Patin Tempoyak, Patin Royale, Selera Patin Bangau, Kancil Raja Patin dan deretan kedai Lurah Semantan.

Peniaga Kedai Makan Tok Gajah Paya Pulai, Abdul Rahman Ibrahim, 72, pula berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT perniagaannya semakin rancak dan pulih sebaik sahaja Pahang berada pada fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, kehadiran pelanggan tetap begitu menggalakkan kerana mereka merindui lebih 30 menu masakan kampung selain udang galah dan patin masak tempoyak.

Pengusaha Anjung Luas Rehat dan Rawat Selera Motel, Rusnani Mohd. Zahari, 52, pula mengakui lega perniagaan patin masak tempoyak dan lain-lain menu ikan eksotik semakin pulih ketika ini.

Bagaimanapun tegasnya, pelanggan tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya