Tiada istilah jaga nama MRSM, IPMA

Tiada istilah jaga nama MRSM, IPMA

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada istilah menjaga nama atau imej Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) apabila melibatkan isu keselamatan dan kebajikan pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, para pelajar dan ibu bapa diminta tidak takut mendedahkan sebarang kes salah laku, buli atau jenayah seksual yang berlaku.

Katanya, setiap laporan akan diambil perhatian dan disiasat sebelum tindakan segera diambil terhadap pihak terlibat.

“Usah risau untuk berkongsi apa sahaja kes salah laku, buli, apatah lagi jenayah seksual yang berkaitan dengan MRSM atau mana-mana IPMA di media sosial.

“Tiada istilah mahu menjaga nama atau imej. Setiap laporan saya anggap serius dan wajib disiasat serta diambil tindakan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai kes buli di MRSM dan beberapa IPMA menerusi Facebook, Instagram serta TikTok ketika mula dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 2023.

Katanya, aduan berkenaan mendorongnya melakukan lawatan mengejut menerusi pendekatan terjah tanpa memaklumkan pihak pengurusan institusi terlebih dahulu.

Beliau berkata, terdapat kecenderungan oleh pihak pengurusan institusi untuk menutup atau menyembunyikan kes buli dan ada juga yang meremehkan perbuatan tersebut, seolah-olah ia perkara biasa dalam kehidupan di asrama.

“Sebagai individu yang pernah tinggal di asrama, budaya seperti ini wajib dihentikan dan tidak boleh dikompromi.

“Sebab itulah saya mengambil langkah drastik dan tegas, termasuk memperkenalkan slogan ‘#YouTouchYouGo’,” katanya.

Asyraf berkata, pengurusan Mara diarah menyiasat setiap aduan dilaporkan ibu bapa atau pelajar melalui media sosial serta mengambil tindakan segera dan tegas.

Katanya, tindakan juga akan dikenakan terhadap pentadbir MRSM atau IPMA sekiranya didapati menyembunyikan kes salah laku atau buli yang berlaku.

“Selain itu, Mara turut memperkenalkan projek rintis warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera selepas mengenal pasti punca utama penularan budaya buli.

“Langkah tersebut bertujuan memperkukuh pemantauan, disiplin serta keselamatan pelajar di asrama MRSM dan institusi pendidikan di bawah Mara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN