Ibu kudung kaki cekal jaga empat anak kecil - Utusan Malaysia

Ibu kudung kaki cekal jaga empat anak kecil

NUR HAJAR Salim yang kudung sebelah anggota kaki bersama-sama anaknya di rumah mereka di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang wanita yang kudung sebelah kaki kanan nekad menjaga dan memberi kasih sayang sepenuhnya terhadap keluarga terutama empat cahaya matanya yang masih kecil biarpun masih menyimpan pengalaman duka yang sukar dilupakan.

Nur Hajar Salim, 31, berkata, dia mula bangkit dalam fasa kesedihan setelah kehilangan sebelah anggota kakinya akibat kemalangan digilis sebuah treler muatan konkrit 13 tahun lalu.

Malah, kejadian di Permatang Tok Gelam, Penaga, Seberang Perai Utara dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut meragut nyawa suaminya, Mohd. Mazlan Mohd. Zin yang ketika itu baru dua bulan mendirikan rumah tangga.

Akui Nur Hajar, akibat tragedi itu, dia menjadi hilang arah dan sering meratapi kesedihan atas kehilangan insan tercinta selain kaki kanannya yang terpaksa dipotong hingga paras paha.

“Saya mula bangkit dan menjadi seorang yang cekal berkat sokongan ibu bapa dan ahli keluarga lain. Saya amat bersyukur, dalam keadaan serba kekurangan, saya ditemukan jodoh buat kali kedua pada tahun 2010 bersama suami, Hairull Amri Azmi, 35.

“Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki. Hidup dengan sebelah kaki langsung tidak mematahkan semangat untuk memberi sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak.

“Merekalah penguat hidup saya hari ini. Saya akui memang ada perasaan sedih apabila tidak dapat mendukung anak-anak seperti ibu yang lain terutama ketika masih bayi dan semasa mereka kurang sihat atau demam,” katanya ketika ditemui di kediaman pusaka milik keluarganya di Kampung Sulup, di sini semalam.

Berkongsi kehidupan hariannya, beritahu suri rumah itu, dia lebih selesa bergerak secara berjengket tanpa menggunakan bantuan tongkat di dalam rumah kerana lebih mudah dan pantas.

“Saya kini membantu menambah pendapatan keluarga dengan mengambil tempahan membuat kek dan biskut tart sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama tahun lalu

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan saya sering berkongsi buatan kek hari jadi dan tart hasil kreativiti lukisan tangan dengan menggunakan ising di dalam Facebook ‘Biseukis Bakery’,” ujarnya.

Dalam pada itu, mereka yang berminat untuk tempahan kek dan tart untuk majlis kenduri, hari jadi serta korporat boleh menghubungi Nur Hajar ditalian 018-327 4575. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya