AZIZAH Mahzan terpaksa melepaskan projek drama kerjasama dua negara dengan Belanda gara-gara diminta menanggalkan tudung bagi menghidupkan watak yang hidup sekitar tahun 1942.
Itu melanggar prinsip dan kemajuannya apatah lagi dia seorang wanita Muslim yang tegar memperjuangkan jati diri agamanya.
“Pelawaan itu saya terima pada tahun ini. Saya perlu menanggalkan hijab untuk disesuaikan dengan keadaan sewaktu perang dunia kedua.
“Saya menolak dengan cara baik. Bagi saya itu bukan kemahuan saya apatah lagi diminta menanggal hijab. Bagi saya ia bercanggah dengan prinsip saya sebagai wanita Islam,” kongsinya.
Azizah mengakui dia kini bersikap selektif terhadap tawaran diterimanya. Sikap ini disebabkan lambakan naskhah liberal yang terlalu banyak ditawarkan kepadanya.
“Kini, saya bersikap lebih selektif memilih naskhah kerana saya takut untuk menerima karya yang liberal.
“Mungkin saya bukan dalam kalangan generasi sekarang. Dan bukanlah saya tidak dapat adaptasi cara generasi baharu membikin drama.
“Tapi saya tidak berani kerana karya generasi sekarang ini berada di luar jangkauan saya,” katanya.
Menurut Azizah, terdapat beberapa naskhah, antaranya cerita tentang perampas kekasih atau suami orang (penyondol) yang akan ditolak kerana memburukkan bangsa Melayu.
“Selain cerita tentang ibu tumpang ada beberapa cerita lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Masalahnya, segelintir pihak produksi tidak menyerahkan skrip sebelum masuk penggambaran. Saya tidak berpeluang untuk mengetahui dengan lebih mendalam jalan ceritanya.
“Bila sudah masuk set penggambaran barulah mengetahui tentang adanya babak-babak yang tidak berkenan di hati. Sebagai Melayu, saya tidak sanggup melakonkan cerita yang menggambarkan keburukan bangsa saya,” ujarnya lagi.

TEATER
Azizah Mahzan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon. Ia berlaku secara kebetulan, bermula ketika pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam kursus perakaunan.
“Kami perlu mengambil subjek elektif, jadi saya pilih teater. Waktu itu guru teater saya adalah arwah Jalil Hamid dan Wan Hanafi Su,” katanya.
Selepas tamat pengajian di UiTM, Azizah terus diambil bekerja sebagai juru akaun di sebuah bank. Ketika itu juga dia sekali lagi dipertemukan dengan Jalil.
“Lalu dia bertanyakan kepada saya sama ada saya masih berminat untuk menyertai teater. Dia mengajak saya menyertai teater di bawah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
“Bila sampai di IKBN, saya terjumpa satu kelompok yang senyap, hanya membaca buku. Jadi, saya pilih untuk masuk kelompok itu bagi mengelakkan bunyi bising.
“Kebetulan kumpulan yang senyap itu rupanya kelas teater di bawah didikan arwah Mustaffa Noor. Satu tahun saya menuntut di bawah bimbingan Mustaffa.
“Tempoh itu adalah persiapan sebelum naik ke pentas sebenar. Saya menimba banyak ilmu tentang teater selama tempoh tersebut,” ujarnya.
Menurut Azizah, dia perlu menunggu masa yang lama sebelum dibenarkan untuk berlakon teater. Katanya, ramai rakan seangkatannya ketika tidak dapat bertahan gara-gara tidak tercapai keinginan menjadi pelakon.
“Saya pula suka prosesnya, saya hendak tahu tentang semua jenis teater. Jadi, saya sahaja yang kekal. Saya anggap ia sebagai hobi, itu sahaja.
“Bila saya keluar dari IKBN, saya terus ditawarkan untuk menggantikan seorang pembaca skrip. Dari situ saya ditawarkan untuk sebuah drama,” kongsinya.

NONA
Azizah pernah mengajak lima rakannya mencuba nasib untuk menjadi pembaca berita di TV3 ketika menuntut di UiTM. Kebetulan, dia antara yang terpilih dan dipanggil semula untuk mengikat kontrak bersama stesen TV tersebut.
“Saya katakan kepada produksi TV3, saya masih belum tamat pengajian jadi mungkin tunggu sehingga semuanya selesai.
“Jadi, selepas tamat pengajian, saya mengikat kontrak bersama TV3 untuk menjadi pembaca berita dan pengacara Nona,” kongsinya.
Azizah memulakan karier seninya sekitar tahun 90-an. Dalam tempoh itu, beliau sering bertukar-tukar kerja, melakukan dua kerja dalam satu masa.
“Saya tidak pernah meletakkan kerjaya seni ini sebagai satu keutamaan, jadi saya, dalam bekerja di bank, juga membuat kerja sambilan sebagai pembaca berita dan kemudian berlakon,” katanya.
IMPIAN TIDAK KESAMPAIAN
IMPIAN Azizah untuk bergandingan dengan Datuk M. Nasir dalam sebuah drama pada penghujung 80-an tidak kesampaian apabila penyanyi itu membatalkan pembabitannya di saat akhir kerana terpaksa masuk ke studio untuk merakam lagu.
Azizah yang ketika itu masih baru dalam dunia lakonan hanya menurut kehendak produksi filem meskipun terpaksa bertukar pasangan berlakon di saat-saat akhir.
“Cerita itu diarahkan Nasir Jani yang mengisahkan tentang bahaya penyakit AIDS. Masa itu saya kenal M.Nasir sebagai penyanyi sahaja.
“Kemudian, dia membuat keputusan untuk menarik diri saat akhir demi melunaskan saki baki lagu untuk album keduanya, S.O.L.O.
“Kemudian peranan beliau diganti dengan arwah Hani Mohsin yang kebetulan merupakan pelajar junior sewaktu di UiTM,” jelasnya.
HANI MOHSIN
“Saya tidak ramai sahabat. Kawan saya semua kebanyakannya sudah tiada.”
Demikian kata Azizah sewaktu mengenangkan pemergian rakan-rakan seangkatannya termasuklah Hani Mohsin yang meninggal dunia pada 25 Julai 2006 akibat serangan jantung.
“Kami sangat rapat. Malam sebelum dia meninggal dunia, dia ada menghubungi untuk memberitahu yang dia akan ke Langkawi untuk membawa bersama anaknya, Karmila buat pertama kalinya.
“Namun keesokannya saya mendapat panggilan daripada Tiara Jacquelina yang Hani sudah meninggal dunia, jatuh di Lapangan Tambang Murah (LCCT) akibat penyakit jantung.
“Saya dengan Hani sangat rapat ibarat keluarga. Pemergiannya sangat memberi kesan kepada saya,” ujarnya.










