KUALA LUMPUR: Pelakon, Shahronizam Noor berasa sangat bersyukur kerana rakan-rakan artis, kru dan pihak produksi tidak putus-putus bertanya khabar serta mengambil berat tentang kesihatannya.
Sahronizam atau Sahronizam Mohd Noor, 54, berkata, keprihatinan mereka sedikit sebanyak memberi kekuatan kepadanya yang kini sedang berjuang melawan penyakit kanser tulang.
“Alhamdulillah, ramai yang bertanya khabar, telefon dan hantar mesej kepada saya. Ada rakan-rakan yang saya panggil saya pun ramai datang berjumpa apabila mereka tahu keadaan kesihatan saya.
“Orang tengok luaran saya macam okey sahaja, tetapi badan kita tidak tahu sebab saya menghidap kanser tulang. Walaupun ada rakan-rakan yang pendapatan mereka juga tidak seberapa, mereka tetap telefon dan sanggup datang melawat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shahronizam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam pelancaran dan tayangan perdana drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga di ibu kota pada Rabu.
Selain sokongan moral, Shahronizam mendedahkan ada sebuah syarikat produksi yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini tampil memberikan bantuan kewangan.
“Masa saya perlukan bantuan kewangan, ada satu produksi yang saya pernah bekerja dahulu datang memberi sumbangan dalam jumlah yang agak besar. Mereka datang bagi sumbangan untuk bantu saya.
“Saya sangat bersyukur ada kawan-kawan dan produksi yang tahu kesusahan saya dan mereka datang bantu. Kesanggupan mereka untuk sama-sama rasa susah dengan saya itu yang membuatkan saya sangat bersyukur,” katanya.
Untuk rekod, Shahronizam yang juga suami kepada penyanyi, Safura Yaacob, sebelum ini disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap dua selepas mengalami sakit belakang.










