Dua tahun ‘gaji’ RM10 sehari - Utusan Malaysia

Dua tahun ‘gaji’ RM10 sehari

NIK Muhammad Zawawi Salleh menyampaikan bantuan one-off dan Prihatin MAFI kepada salah seorang pemandu teksi di Pasir Puteh baru-baru ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pandemik mengakibatkan kira-kira 70 pemandu teksi sekitar bandar ini terjejas teruk, dengan rata-rata mereka sekadar meraih pendapatan kira-kira RM10 sehari sejak hampir dua tahun lalu.

Walaupun kelonggaran telah diberikan dengan pelbagai sektor sudah kembali rancak, nasib golongan itu masih tidak berubah, memaksa mereka melakukan pelbagai pekerjaan sampingan untuk hidup.

Berkongsi masalah mereka kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pemandu Teksi Pasir Puteh, Nor Hazilan Idris berkata, selain populariti teksi sendiri yang merudum, stesen perhentian teksi di bandar ini yang jauh dari lokasi tumpuan memburukkan lagi situasi.

Ketika ini katanya, trip popular seperti dari pusat bandar ke Selising, Gaal dan Semerak kini ‘sepi’ kerana rata-rata penduduk tempatan cenderung menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak.

“Bukan pemandu teksi sahaja yang terkesan. Ia turut melibatkan perkhidmatan bas yang telah menghentikan perkhidmatan mereka di laluan ini kerana ketiadaan penumpang.

“Sudahlah pengangkutan awam semakin tidak popular, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan menjejaskan lagi keadaan kami,” katanya ketika ditemui di Stesen Teksi Tok Janggut, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Puteh yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Nik Muhammad Zawawi Salleh menyampaikan bantuan one off RM200 dan Prihatin MAFI kepada para pemandu teksi di situ.

Nor Hazilan berkata, sejak Covid-19 menyerang negara, 70 pemandu teksi yang berdaftar dengan persatuan itu bersyukur kerana Ahli Parlimen Pasir Puteh prihatin dengan nasib mereka apabila sudah dua kali menyalurkan bantuan.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Nik Hassan Nik Ismail, 68, berkata, dia terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menambah sumber pendapatan termasuk menternak lembu secara kecil-kecilan.

“Sejak dua tahun lalu, pendapatan saya dalam RM10 sehari, kadang-kadang tidak ada langsung. Kalau dapat raih RM20 sehari itu ibarat rezeki tambahan. Dalam keadaan penumpang tidak ramai, kami juga perlu bergilir-gilir mengambil penumpang.

“Dulu kami boleh hidup kerana ada ramai pelancong, terutama dari luar negara yang mahu menggunakan perkhidmatan kami ke Kuala Besut sebelum menaiki bot ke Pulau Perhentian. Sekarang itu hanya tinggal kenangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya