Penternak mohon pinjaman mudah untuk stabilkan harga ayam  - Utusan Malaysia

Penternak mohon pinjaman mudah untuk stabilkan harga ayam 

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG:  Kerajaan telah mengenal pasti langkah bagi menstabilkan harga ayam di pasaran termasuk pemberian pinjaman mudah kepada penternak.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil perbincangan dengan persatuan penternak,  golongan itu memohon agar kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada mereka. 

 

Menurut beliau, meskipun terdapat cadangan lain seperti memberikan subsidi dedak bagi mengurangkan beban,  penternak kurang bersetuju kerana kos pengurusan tetap naik. 

 

“Hasil perbincangan dengan persatuan penternak, antara pandangan mereka ialah pemberian subsidi dedak.

 

“Namun, mereka lebih memilih jika diberikan pinjaman mudah kerana kos operasi sudah naik, bukan hanya kos dedak ayam atau makanan ayam,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini. 

 

Menurutnya, kerajaan akan mencari langkah yang terbaik untuk menangani kenaikan harga ayam dengan mengambil kira konteks ekonomi secara keseluruhan dan kemampuan kewangan sekiranya pemberian subsidi dilaksanakan. 

 

Beliau berkata, jika semua diberikan subsidi,  mungkin dari segi kewangan tidak akan dilaksanakan secara berterusan kerana ia membebankan.

 

“Langkah lain juga mungkin dilaksanakan seperti membuat stok simpanan tapi semua ini cuma cadangan dan perkara ini sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

 

Sementara itu, Alexander berkata, Program Food Bank Malaysia yang diterajui kementerian itu berjaya membantu golongan kurang berkemampuan dan mengurangkan pembaziran di peringkat industri peruncitan. 

 

Menurutnya, kementerian dengan kerjasama rakan strategik utama program itu merancang untuk membuka tiga Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di Johor, Melaka dan Kelantan. 

 

“Kerjasama baik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan rakan strategik utama lain memastikan pusat ini dapat beroperasi dengan lancar,” katanya. 

 

Katanya, seramai 630,754 orang dari golongan B40 dan 19,954 pelajar institut pengajian tinggi di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN