PETALING JAYA: Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara mencatatkan penurunan pada tahun lalu dan merupakan yang terendah sejak empat dekad yang lalu.
Trend penurunan kelahiran ini disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan peningkatan penglibatan wanita dalam tenaga buruh.
Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif di Malaysia mencatatkan penurunan dengan 1.7 anak pada 2020 berbanding 1.8 anak pada 2019.
“Kadar kesuburan pada tahun 2020 merupakan yang terendah sejak empat dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970. Kadar kesuburan Malaysia berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013.
“Selain itu, turut dinyatakan faktor penurunannya adalah peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini.
“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.
Menurut Mohd Uzir, semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 berbanding 2019 kecuali Terengganu, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Semua negeri turut merekodkan penurunan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) kecuali Labuan dan Perlis. Terengganu mencatatkan kadar tertinggi dengan 21.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk.
“Manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar terendah dengan 11.1 kelahiran. Ini sejajar dengan bilangan penduduk etnik Cina yang ramai di Pulau Pinang iaitu sebanyak 42.3 peratus daripada jumlah penduduk warganegara di Pulau Pinang,” katanya.
Statistik yang dibentangkan itu turut menunjukkan etnik Cina telah mencatatkan TFR paling rendah berbanding etnik lain seawal tahun 2003.
“Penurunan CBR dan TFR secara berterusan akan memberi implikasi kepada peningkatan warga tua dan pengurangan penduduk bekerja pada masa akan datang”. ujarnya. -UTUSAN ONLINE










