KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menyokong dan bekerjasama dengan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu diterajui Pas, walaupun hubungan politik antara kedua-dua buah parti sudah berakhir.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu berkata, beliau menyambut baik kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa tiada rombakan dalam barisan Exco kerajaan negeri susulan perkembangan hubungan antara Pas dan Bersatu.
“Alhamdulillah, kita sambut baik kenyataan MB (Menteri Besar) dan sokong kerajaan negeri serta terus bekerjasama selagi diperlukan bagi menjamin kestabilan rakyat Terengganu. Insya-Allah Terengganu kekal negeri paling bahagia,” katanya hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan menghentikan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas di ibu negara.
Beliau berkata, Pas mahu meneroka kerjasama politik baharu.
Berikutan itu, kedudukan Razali sebagai Exco kerajaan negeri menjadi tanda tanya sama ada kekal atau sebaliknya.
Semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 2023, Razali menjadi giant killer selepas menewaskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau kemudian dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada penggal ini. Ia adalah julung wakil Bersatu dilantik ke jawatan itu.
Ahmad Samsuri yang ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Terengganu di sebuah hotel Kuala Lumpur, hari ini dilaporkan mengesahkan tiada rombakan dalam barisan EXCO tersebut.
Beliau tidak memberikan penjelasan lanjut dan hanya menegaskan kedudukan Exco kerajaan negeri kekal seperti sedia ada. – UTUSAN










