JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi membantu parti berkenaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, kepimpinan pas negeri serta ahli di peringkat akar umbi menyambut baik pelantikan tersebut yang bertujuan memperkukuh gerak kerja jentera parti.
“PAS Johor yakin pengalaman serta kepimpinan Tan Sri Annuar Musa akan membantu memperkukuhkan persiapan dan penyelarasan gerak kerja menghadapi PRN Johor ke-16.
“Menjelang PRN yang semakin hampir, seluruh jentera Pas Johor diseru memperkukuhkan kesatuan saf, memantapkan gerak kerja serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Firdaus turut memberitahu pihaknya menyokong keputusan dibuat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kelmarin.
“Pas Johor berpandangan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan usaha penyatuan ummah yang menjadi matlamat perjuangan parti.
“Justeru, Pas Johor akan terus mendukung sebarang bentuk persefahaman politik atau kerjasama pilihan raya (electoral pact) yang diputuskan oleh kepimpinan Pusat bagi menghadapi PRN kali ini,” katanya. – UTUSAN










