Bantuan pembangkang langkah terakhir - Utusan Malaysia

Bantuan pembangkang langkah terakhir

Gabungan pemandu perkhidmatan awam darat semalam mengadakan sidang akhbar semalam meluahkan perasaan supaya kerajaan membantu membela nasib mereka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan perkhidmatan dan pengangkutan awam darat negara ini disarankan untuk berbincang dan mendesak untuk bersemuka dengan pihak yang terlibat dan meminta bantuan pihak pembangkang sebagai langkah terakhir. 

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, kerajaan perlu bersikap responsif terhadap segala perkara yang difikirkan relevan dalam menjaga soal kebajikan. 

Beliau berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan adalah dengan berunding dan berdialog dengan pihak persatuan karena mereka lebih memahami segala yang berlaku di bawah. 

“Langkah yang diambil oleh gabungan ini adalah langkah yang tepat, maka pihak kerajaan tidak harus bersikap tertutup.

“Mereka harus terbuka dengan apa-apa sahaja cadangan yang praktikal pragmatik untuk kebaikan sektor itu dan rakyat negara ini harus diberi pertimbangan serius. 

“Tetapi langkah terakhir adalah dengan disalurkan melalui pembangkang, bersemuka dengan pembangkang dan biarkan pembangkang bersuara di Dewan Rakyat untuk memberi tekanan dan desakan kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Semalam, gabungan perkhidmatan dan pengangkutan awam darat menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam PRU-15 bagi membolehkan masalah yang dihadapi pemain industri tersebut sejak sekian lama dapat diselesaikan.

Menurut Dr. Jeniri, pihaknya meragui keputusan gabungan itu dalam membuat keputusan untuk bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. 

Katanya, ini berikutan mereka hanya dilihat memperjuangkan satu aspek sahaja iaitu pengangkutan. 

“Namun mereka ini sudah guna saluran betul dan ia harus didengar kerana mereka hanya mahu kebajikan mereka dibela dan bukannya membangkang apa sahaja,” katanya. 

Senada dengan beliau, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian pula berpandangan, pendekatan terbaik adalah dengan berbincang bagi menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dalam tempoh masa terdekat. 

“Sesiapa sahaja boleh bertanding, tetapi PRU-15, mungkin dua tahun lagi dan segala kemungkinan boleh berlaku. 

“Isu tersebut adalah isu kepentingan mereka, jika mereka gagal dalam PRU-15, apakah isu tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Maka katanya, perkara itu memerlukan kerjasama antara beberapa pihak yg boleh membuat keputusan. 

“Yang penting adalah mengenal pasti kenapa masih tidak ada jalan penyelesaian, puncanya dan mencari ruang yang menang-menang.

“Sesiapa sahaja boleh bertanding, tetapi PRU-15, mungkin dua tahun lagi dan segala kemungkinan boleh berlaku,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN