Bapa hadapi masalah tanggung kos perubatan anak - Utusan Malaysia

Bapa hadapi masalah tanggung kos perubatan anak

MOHD. Kamal Morgen Abdullah bersama isterinya Salmah Ibrahim dan anaknya Nur Hidayah yang menghidap 'Cerebral Palsy' ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Batu 10, Labu Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori yang mempunyai anak yang menghidap ‘Cerebral Palsy’ kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos perubatan anaknya itu setelah dia hilang sumber pendapatan sejak tiga bulan lalu akibat pandemik Covid-19.

Mohd. Kamal Morgen Abdullah, 58, yang merupakan seorang mualaf berkata, keterbatasan untuk bergerak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan dia kini perlu mengawal perbelanjaan dan menggunakan simpanan yang ada.

“Saya sudah tidak bekerja sejak tiga bulan lalu sebab tiada ‘trip’ dan tidak boleh keluar seperti sebelum ini.

“Tetapi, Alhamdulilah seorang anak saya yang menghidap ‘Cerebral Palsy’ iaitu kelemahan kawalan otak dan otot menerima bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan dan wang itu digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan lampin pakai buang dan perubatannya.

“Walaupun terjejas dan pendapatan bulanan berkurang, tapi, saya tetap bersyukur kerana ada pihak yang tampil menyampaikan sumbangan termasuk daripada pihak polis yang sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Rumah Rakyat Batu 10, Labu di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superitenden Mat Ghani Lateh menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Op Bantu Ibu Pejabat Daerah Polis Daerah (IPD) Nilai kepada Mohd. Kamal Morgen.

Menurut Mohd. Kamal Morgen lagi, anak istimewanya itu iaitu Nur Hidayah, 30 yang mesra dengan panggilan Ayu menghidap penyakit tersebut sejak lahir dan memerlukan penjagaan rapi.

“Ayu anak kedua daripada empat beradik dijaga sepenuhnya oleh isteri saya, Salmah Ibrahim, 53, yang merupakan suri rumah dan sebelum ini dia ada mengambil tempahan membuat kek secara ‘online’.

“Bagaimanapun, sejak PKP tiada pelanggan membuat tempahan, jika tidak duit daripada hasil jualan kek dapat juga membantu kerana kos untuk perbelanjaan lampin pakai buang Ayu agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, Ayu perlu diberi perhatian khusus dan tidak boleh tertekan kerana dia akan mudah terkena sawan.

“Masa PKP dan PKPD ada juga dia menjerit dan menangis minta bawa keluar, saya kata bahaya kena duduk di rumah sebab Covid-19 dan setiap petang saya hanya akan bawanya bersiar-siar di hadapan rumah,” katanya.

Dalam pada itu berhubung Op Bantu, Mat Ghani berkata, pihak polis IPD Nilai menyasarkan sumbangan 300 bakul makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19 di daerah ini.

“Kami lihat ada penerima sumbangan yang menangis dan sebak apabila menerima sumbangan bakul makanan ini dan rasa dihargai apabila pihak polis sendiri turun padang menyampaikan bantuan.

“Maklumat asnaf dan penerima sumbangan yang layak kita dapat melalui risikan daripada setiap Ketua Polis Balai dan program Op Bantu ini akan diteruskan supaya rakyat yang terkesan akan terus mendapat bantuan yang disalurkan,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN