Peguam Texas saman Netflix sebabkan penonton ketagih - Utusan Malaysia

Peguam Texas saman Netflix sebabkan penonton ketagih

GAMBAR fail studio Netflix di Los Angeles. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Peguam Negeri Texas, Ken Paxton memfailkan saman terhadap gergasi penstriman, Netflix pada Isnin atas dakwaan mengumpul data pengguna secara tidak sah.

Paxton turut menyaman atas dakwaan Netflix sengaja mereka bentuk platform tersebut untuk menyebabkan ketagihan dalam kalangan penonton.

Saman setebal 59 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah Dallas itu menyatakan bahawa amalan privasi Netflix sebenarnya jauh berbeza daripada apa yang diuar-uarkan kepada orang awam.

Saman itu mendakwa platform itu bertindak sebagai ‘pusat simpanan’ data yang menjejak tabiat tontonan, pilihan dan tingkah laku sensitif pengguna.

Data itu kemudian diberikan kepada pengiklan-pengiklan bagi tujuan sasaran pemasaran.

Paxton mendakwa Netflix secara rahsia ‘mengintip’ pengguna dan kanak-kanak di Texas. Ia didakwa berlaku walaupun sering mendakwa platformnya adalah mesra kanak-kanak.

Netflix dituduh menggunakan teknik psikologi untuk membuatkan penonton muda ketagih termasuk fungsi autoplay yang ditetapkan secara automatik.

Peguam itu turut memohon perintah injunksi bagi menghalang pengumpulan data sepanjang litigasi. Saman itu juga menuntut penalti sivil sehingga AS$10,000 (RM39,345) bagi setiap pelanggaran di bawah Akta Amalan Perdagangan Texas.

Namun, Netflix menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Menerusi satu kenyataan kepada AFP, syarikat itu menyifatkan saman berkenaan sebagai tidak berasas dan berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan terpesong. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN