Isu Kontroversi REE Lynas dibawa ke Parlimen Jun ini - Wong Chen

Isu Kontroversi REE Lynas dibawa ke Parlimen Jun ini – Wong Chen

WONG CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kontroversi melibatkan Lynas Rare Earths dan industri unsur nadir bumi (REE) Malaysia dijangka dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan.

Ia susulan tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa kerajaan memastikan operasi Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, Wong Chen berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen bagi menggesa kerajaan memastikan operasi Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya akan membawa isu ini ke Parlimen pada sidang Parlimen 22 Jun ini,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, Wong Chen yang juga Ahli Parlimen PKR-Subang berkata, kerajaan telah mengambil pendirian yang kritis dan lantang terhadap isu Palestin dan Gaza, serta pendirian yang lebih berhati-hati dalam mendesak pengurangan ketegangan konflik dan rundingan damai mengenai perang terhadap Iran.

Walau bagaimanapun, katanya, pendirian ini dilihat tidak selari dengan pengumuman baru-baru ini bahawa Lynas akan membekalkan unsur nadir bumi kepada Pentagon untuk pembuatan senjata.

“Walaupun kerajaan mungkin tidak dapat mengawal apa yang dihasilkan oleh Lynas dan kepada siapa mereka menjual produk mereka, untuk masa hadapan, ia seharusnya menjadi dasar nasional bahawa kita tidak harus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) yang terlibat dalam pembuatan senjata dan kelengkapan perang,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa juga akan menyambung persidangan pada bulan Jun dan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam pada waktu tersebut.

Beberapa organisasi masyarakat sivil termasuk Greenpeace Malaysia dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa REE yang diproses di Malaysia berpotensi digunakan dalam teknologi ketenteraan yang berkaitan dengan konflik berterusan di Gaza dan Asia Barat.

Perkara tersebut mencetuskan perdebatan awam berhubung kemungkinan penglibatan tidak langsung Malaysia dalam rantaian bekalan industri pertahanan global, khususnya selepas laporan mengenai hubungan pembekalan Lynas dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD).

Sementara itu, jurucakap Gabungan Rakyat Malaysia dan Penyokong Masyarakat Sivil Menentang Perang dan Pelanggaran Kemanusiaan (500 Anti Perang), John Ooh berkata, memorandum yang ditandatangani oleh 500 peserta telah dihantar kepada ahli parlimen yang meminta kerajaan menjalankan siasatan bebas terhadap rantaian bekalan REE Malaysia agar tidak terlibat secara tidak langsung dalam sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN