SEJAK 2012, nama Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) sering menjadi tajuk utama perbahasan awam di Malaysia. Kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, mula beroperasi dengan janji manis peluang pekerjaan, pelaburan asing dan kedudukan strategik Malaysia dalam industri nadir bumi dunia.
Namun, realitinya, operasi ini mengundang beban radioaktif, risiko kesihatan awam dan pencemaran alam sekitar yang terus menghantui rakyat Malaysia sehingga hari ini.
Keputusan kerajaan pada 13 Februari 2023 untuk meluluskan pembaharuan lesen Lynas bagi tempoh tiga tahun lagi (3 Mac 2023 – 2 Mac 2026) menimbulkan kekecewaan banyak pihak, walaupun syarat dikenakan bahawa aktiviti cracking and leaching (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif mesti dipindahkan ke Australia selepas Julai 2023.
Operasi Lynas di Malaysia bermula pada 2012 apabila kilang LAMP di Gebeng mula beroperasi dengan status istimewa sebagai strategic pioneer status. Status ini diberi oleh kerajaan terdahulu bersama insentif pengecualian cukai sehingga 12 tahun.
Ketika itu, kerajaan menyangka Lynas akan membawa faedah strategik kepada negara, namun hakikatnya tiada syarat dikenakan untuk memulangkan sisa radioaktif ke Australia. Bahan buangan radioaktif yang dihasilkan sejak awal terus disimpan di Malaysia tanpa tapak pelupusan kekal, sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat.
Sejak beroperasi, timbunan sisa terus meningkat. Antara 2013 hingga 2019, lebih sejuta tan sisa terjadual dan hampir setengah juta tan sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) terkumpul di Gebeng. Sisa ini mengandungi thorium, bahan radioaktif penyebab kanser dengan jangka hayat sehingga 14 bilion tahun.
Menjelang 2019, tekanan masyarakat sivil semakin kuat. Badan seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam Lynas kerana gagal menyediakan Permanent Disposal Facility (PDF) walaupun beroperasi bertahun-tahun lamanya. Mereka menegaskan Malaysia berisiko dilihat sebagai ‘tapak pembuangan dunia’ kerana membiarkan sisa radioaktif ini tersimpan begitu sahaja.
Walaupun terdapat bantahan, pada 13 Februari 2023, lesen Lynas diperbaharui untuk tempoh tiga tahun sehingga 2026. Walaupun syarat dipertahankan agar aktiviti C&L dipindahkan ke Australia, Lynas masih diberi ruang operasi penuh.
Sejak itu, Lynas terus memperluas operasinya. Pada tahun ini, syarikat ini mengumumkan kejayaan menghasilkan unsur nadir bumi berat seperti disprosium dan terbium di Gebeng. Kedua-dua unsur ini penting dalam pembuatan magnet berprestasi tinggi untuk kenderaan elektrik dan peranti elektronik.
Pada masa yang sama, Lynas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membangunkan rantaian bekalan nadir bumi tempatan serta bekerjasama dengan syarikat Korea Selatan, JS Link, untuk membina kilang magnet nadir bumi di Kuantan.
Operasi Lynas membawa pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Sisa radioaktif WLP yang mengandungi thorium dan uranium bersifat karsinogenik dengan separuh hayat berjuta-juta tahun. Kesan radiasinya tidak hilang dalam jangka pendek, malah kekal berabad lamanya, sekali gus membahayakan generasi mendatang.
Dari segi kesihatan, tiada dos radiasi boleh dianggap selamat. Kajian oleh Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa walaupun pendedahan pada tahap rendah, ia tetap meningkatkan risiko kanser. Oleh itu, hujah bahawa paras radiasi yang “dibenarkan” adalah selamat tidak boleh diterima kerana ia masih meletakkan rakyat kepada risiko.
Selain itu, lokasi kilang Lynas di Gebeng yang dibina di kawasan paya gambut yang mudah banjir memperbesar ancaman. Sisa radioaktif disimpan dalam kolam terbuka dan berisiko melimpah ke laut semasa musim monsun. Laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Australia, Aid/Watch, mengesahkan terdapat pencemaran air di estuari dan kawasan pantai Kuantan, di mana masyarakat setempat masih menangkap ikan dan kanak-kanak bermain.
Lebih membimbangkan, sehingga kini Lynas masih gagal menyediakan PDF yang berfungsi. Timbunan sisa radioaktif di Gebeng terus bertambah sehingga mencecah lebih 1.2 juta tan. Malah, cadangan Lynas untuk mengitar semula sisa ini sebagai baja yang dinamakan Condisoil menimbulkan ancaman baharu terhadap sektor pertanian negara kerana boleh menjejaskan reputasi eksport kelapa sawit dan hasil pertanian lain.
Keputusan kerajaan untuk melanjutkan lesen Lynas bagi tempoh tiga tahun lagi jelas menunjukkan kompromi yang merugikan rakyat. Walaupun syarat dikenakan agar aktiviti C&L dipindahkan ke Australia, operasi Lynas secara keseluruhannya masih diteruskan. Hal ini mencerminkan ketidakselarasan dasar kerana prinsip kesihatan awam sepatutnya mengatasi kepentingan pelaburan asing.
Malaysia pernah mengalami tragedi besar melalui kes Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh, yang menyebabkan pencemaran radioaktif dan memerlukan ratusan juta ringgit untuk kerja pembersihan. Sejarah hitam ini seharusnya dijadikan teladan agar kerajaan tidak lagi membiarkan rakyat menanggung risiko sama.
Oleh itu, kerajaan mesti berani mengambil langkah tegas untuk tidak lagi menyambung lesen Lynas selepas Mac 2026. Sebaliknya, syarikat ini perlu diarahkan supaya memulangkan semua sisa radioaktif ke Australia mengikut janji asal. Kita juga menunggu keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober depan ke atas permohonan SAM yang mahukan PDF tidak dibenarkan wujud di Malaysia dan semua sisa radioaktif dihantar ke Australia.
Kerajaan juga tidak boleh membenarkan operasi baharu Lynas di Pahang atau Kelantan diteruskan. Projek rantaian bekalan nadir bumi di Kelantan serta cadangan membina kilang magnet di Kuantan hanyalah bentuk normalisasi baharu yang akan mengikat Malaysia lebih lama dengan industri pencemar ini.
Malaysia tidak boleh terus menjadi tapak pelupusan sisa radioaktif dunia. Demi generasi masa depan, kesihatan rakyat dan kelestarian alam mesti diutamakan berbanding kepentingan korporat asing. – UTUSAN
PENULIS ialah Ts. Dr. Mohamed Zul Fadhli Khairuddin adalah Dekan Institute of Medical Science Technology di Universiti Kuala Lumpur (UniKL MESTECH).










