Pasangan kekasih rempuh polis ditahan, kenderaan ditembak

Pasangan kekasih rempuh polis ditahan, kenderaan ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Myvi selepas sepasang kekasih bertindak merempuh anggota dan motosikal Unit Ronda Bermotosikal (URB) ketika cuba melarikan diri di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi ketika anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan kereta dinaiki suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki dan wanita tempatan.

“Semasa pemeriksaan hendak dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh motosikal URB serta sebuah Mazda CX-5.

“Suspek juga cuba melanggar anggota polis sebelum anggota melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Myvi bagi memberi amaran supaya berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, suspek berjaya memecut melarikan diri.

Kejadian itu menyebabkan seorang anggota URB mengalami kecederaan ringan di kaki selepas tersepit apabila motosikalnya dirempuh suspek.

Tan berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan siasatan di lokasi menemukan serpihan anak peluru dan kelongsong.

Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai melancarkan operasi khas sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 tahun dalam tempoh kurang 24 jam.

Katanya, suspek lelaki dan wanita itu ditahan secara berasingan di Bandar Putra dan Kluang antara pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam.

Polis turut merampas sebuah alat kawalan jauh dan Perodua Myvi hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307, 332 dan 186 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×