SUNGAI PETANI: Tiga individu ditahan polis bagi membantu siasatan kes pemilik kedai kosmetik dipercayai diserang ketika siaran langsung menerusi media sosial di Bandar Laguna Merbok, di sini petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berumur 28 tahun mendakwa diserang suspek yang menaiki Toyota Vellfire pada pukul 5.02 petang ketika berada dalam keretanya di hadapan sebuah rumah.
“Empat individu yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita menghampiri mangsa sebelum seorang daripada mereka memukul muka, badan dan kepala mangsa hingga menyebabkan kecederaan.
“Kejadian dirakam melalui telefon pintar mangsa yang kemudian membuat laporan polis lewat petang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Hanyan, polis berjaya menahan lelaki berumur 30-an dan dua wanita berusia 29 tahun di sekitar daerah itu, malam tadi untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Mangsa turut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh rumah,” katanya.
Video kejadian berdurasi dua minit 20 saat yang memaparkan rakaman insiden berkenaan tular di media sosial sejak semalam. – UTUSAN









