KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan disiarkan secara langsung bermula Ogos depan.
Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keputusan itu bukan disebabkan provokasi tetapi dibuat setelah berbincang dan mendapat persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta kerajaan negeri.
“Sidang akan datang kita akan adakan siaran langsung. Keputusan saya bukanlah disebabkan oleh provokasi tetapi kita telah berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri dan saya mencadangkan serta mereka sudah bersetuju.
“Selepas ini pada Ogos ini akan ada siaran langsung. Jadi jangan ada yang ponteng,” katanya ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sidang DUN Pahang di sini hari ini.
Sebelum itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) mempertikaikan mengapa tidak diadakan sidang DUN secara langsung dalam persidangan kali ini.
Tuan Ibrahim berkata, siaran langsung sudah menjadi normal ketika ini apabila orang menjual ikan pun berbuat demikian.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjawab, sebelum ini kerajaan negeri sudah bersetuju untuk mengadakan siaran langsung sidang DUN tetapi ditarik balik berikutan terdapat provokasi dari Perikatan Nasional (PN).
“Saya telah mengarahkan untuk diadakan siaran langsung pada sidang DUN kali ini tetapi disebabkan provokasi yang melampau dari pihak PN, jadi kami tarik balik. (Jika diadakan siaran langsung) pihak PN akan ‘claim’ merekalah yang desak.
“Kita dah bersedia bila-bila masa tetapi disebabkan ada cabaran yang melampau itu kita tarik balik. Kalau berbincang secara elok, kita tidak ada masalah untuk laksanakan (siaran langsung),” katanya. – UTUSAN










