PETALING JAYA: Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan gangguan seksual di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang dekat sini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisoner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan dibuat susulan video tular berdurasi 23 saat di platform Threads pada Khamis lalu.
“Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman West Country, Bandar Baru Bangi.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seorang Threads mendakwa diraba seorang lelaki ketika sedang duduk di pintu keluar Stesen MRT Kajang.
Bagaimanapun, wanita itu hanya sempat merakam arah belakang suspek berbajumerah selepas beredar dari lokasi kejadian.
Naazron berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










