Tiada kompromi salah laku petugas kesihatan

Tiada kompromi salah laku petugas kesihatan

JULITA MAJUNGKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan gangguan seksual membabitkan penjawat awam dalam sektor kesihatan, termasuk kes yang didakwa melibatkan seorang pengarah hospital di negeri ini yang tular di media sosial.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kementeriannya memandang serius dakwaan berkenaan dan tindakan sewajarnya sedang diambil sebelum diselaraskan bersama Kementerian Kesihatan.

“Saya belum beritahu apa-apa lagi tetapi sudah tentu apa yang perlu dilakukan telah dilaksanakan. Di peringkat kementerian, kita memandang serius dan tidak akan berkompromi.

“Kita sedang melakukan sesuatu dan akan pastikan tindakan lanjut dapat diselaraskan bersama KKM. Tunggu pengumuman saya. Kita tidak membiarkan mangsa yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli membabitkan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.

Katanya, sebarang dakwaan berkaitan gangguan seksual dan buli di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu disiasat serta ditangani mengikut saluran dan prosedur yang ditetapkan.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan polis telah menerima laporan berhubung dakwaan tersebut pada Januari lalu dan siasatan telah dijalankan sebelum isu berkenaan tular di media sosial. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN